TEHRAN – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa telah melancarkan serangan balas terbaharu ke atas beberapa kedudukan musuh di rantau itu, termasuk memusnahkan sekurang-kurangnya dua pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) dan merosakkan beberapa lagi di sebuah pangkalan tentera AS di Jordan.
Pasukan Aeroangkasa mereka menerusi gelombang ke-21 Operasi Nasr-2 berjaya menyerang sebuah pesawat pengangkut C-17 dan pesawat kawalan serta arahan P-8 di Lapangan Terbang Aqaba, Jordan menggunakan peluru berpandu balistik berdasarkan maklumat yang didakwa diperoleh daripada rakyat negara Arab itu, lapor agensi berita IRNA.
IRGC menyatakan operasi tersebut didedikasikan kepada kanak-kanak perempuan yang terkorban dalam apa yang disebut sebagai “Perang Paksaan Ketiga” terhadap Iran.
Menurut dakwaan itu, serangan berkenaan memusnahkan sepenuhnya sekurang-kurangnya dua pesawat tentera AS dan tiga lagi pesawat tentera, manakala beberapa pesawat lain mengalami kerosakan teruk.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Jordan atas “kerjasama mereka”, IRGC mendakwa maklumat risikan yang diberikan turut membolehkan mereka melancarkan serangan peluru berpandu terdahulu ke atas kedudukan tentera AS di kawasan Al-Azraq, yang didakwa mengakibatkan kemusnahan 20 tempat perlindungan tentera AS serta membunuh puluhan anggota tentera negara itu.
Kenyataan itu turut mengecam tindakan ketenteraan AS di rantau berkenaan dan di negara lain, dengan mendakwa tentera AS bertanggungjawab terhadap kematian berjuta-juta umat Islam melalui serangan ke atas lebih 10 negara Islam dalam beberapa dekad kebelakangan ini serta sokongannya terhadap tindakan rejim Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Dalam kenyataan berasingan, IRGC turut mengumumkan serangan mengejut ke atas pusat operasi khas musuh di kawasan Al-Tanf, Syria, yang didakwa sebagai tindakan membalas kematian anggota tentera Iran di Iranshahr.
Menurut Jabatan Perhubungan Awam IRGC, Pasukan Aeroangkasa membuat serangan balas selepas anggota tentera mereka terkorban di Bampour dan membunuh beberapa anggota tentera AS, selain memusnahkan sebuah sistem radar dan beberapa helikopter operasi khas.
IRGC turut menegaskan, Selat Hormuz masih berada di bawah kawalan penuh Angkatan Tentera Iran dan mendakwa mereka tidak akan membenarkan setitis pun minyak atau gas dieksport melalui kawasan itu selagi AS meneruskan apa yang disifatkan sebagai tindakan bermusuhan.
Pada masa sama, IRGC mendakwa dua kapal tangki minyak meletup dan tidak dapat meneruskan pelayaran selepas cuba melalui laluan yang disifatkan sebagai tidak selamat dan berbahaya di Selat Hormuz.
Jabatan Perhubungan Awam IRGC mendakwa kedua-dua kapal tersebut digalakkan oleh tentera AS untuk menggunakan laluan berkenaan, yang menurut mereka tidak selamat untuk penghantaran baja kimia mahupun minyak dan gas.
Iran terus melancarkan serangan ke atas pangkalan dan kemudahan tentera AS di rantau itu sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwa sebagai pencerobohan baharu oleh pentadbiran Presiden Donald Trump ke atas Republik Islam Iran.
Tehran mendakwa tindakan AS itu melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta memorandum persefahaman yang dimeterai dengan pengantaraan beberapa negara serantau bagi menamatkan konflik tersebut. – Agensi
















