Menteri Besar yang juga calon Pakatan Harapan N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung DAP yang juga calon Pakatan Harapan N.01 Chennah, Anthony Loke bergambar sambil menunjukkan risalah manifesto pada Peluncuran Manifesto Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 20 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar menentukan parti yang membentuk kerajaan, sebaliknya menjadi penentu hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Oleh itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, rakyat perlu membuat pilihan sama ada mahu meneruskan pentadbiran yang stabil, berintegriti dan mempunyai perancangan jelas atau kembali kepada politik yang tidak menentu.

Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) tidak tampil pada PRN kali ini dengan janji kosong, sebaliknya berbekalkan rekod pentadbiran sepanjang lapan tahun menerajui kerajaan negeri.

“Pilihan raya ini bukan sekadar tentang siapa yang membentuk kerajaan. Pilihan raya ini ialah pilihan tentang arah tuju Negeri Sembilan.

“Sama ada kita mahu terus bergerak ke hadapan dengan sebuah kerajaan yang stabil, berprinsip dan diyakini. Atau kita kembali kepada sebuah politik yang sentiasa berubah mengikut percaturan kuasa,” katanya ketika melancarkan Manifesto PH Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, kerajaan PH telah membuktikan keupayaannya mengurus negeri dengan mengukuhkan kedudukan kewangan, menarik pelaburan strategik bernilai berbilion ringgit, memperluaskan bantuan kebajikan serta memperkasakan pendidikan, TVET dan pembangunan modal insan.

Beliau berkata, pencapaian itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pentadbiran yang mengutamakan amanah, kestabilan dan kepentingan rakyat berbanding percaturan politik.

Menurutnya, rakyat Negeri Sembilan kini lebih matang dan mahukan sebuah kerajaan yang mampu menunaikan amanah serta membawa pembangunan yang boleh dirasai, bukannya sekadar membuat janji politik.

“Rakyat tidak mahu politik yang memecah-belahkan. Rakyat mahukan politik yang menyatukan.

“Rakyat tidak mahu pemimpin yang hanya pandai berjanji. Rakyat mahukan pemimpin yang mampu menunaikan amanah,” katanya.

Beliau menegaskan, manifesto PH yang dibawa pada PRN kali ini berteraskan visi jangka panjang untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia, sekali gus muncul sebagai pusat pertumbuhan baharu negara yang mampu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Aminuddin berkata, kestabilan politik merupakan asas penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast