Salmah (tengah) dikunjungi rakan serta jiran tetangga di kediamannya di Bukit Gedung, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Di sebalik kesedihan kehilangan anak lelaki yang hanya diketahui meninggal dunia lebih sebulan kemudian, Salmah Shamsudin, tetap cekal menggalas amanah membesarkan dua cucunya yang kehilangan tempat bergantung.

Warga emas berusia 72 tahun itu berkata, dia kini mengambil alih tanggungjawab yang sebelum ini dipikul anaknya, Shahir Zainul, 46, bagi memastikan dua cucunya yang berusia 15 dan 13 tahun terus membesar dalam suasana penuh kasih sayang serta tidak tercicir daripada pelajaran.

“Selagi saya masih ada, saya akan jaga mereka. Saya galas tanggungjawab yang sebelum ini dipikul arwah.

“Adiknya masih belajar di tingkatan satu. Insya-Allah saya akan pastikan mereka terus bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Gedung, di sini.

Menurut Salmah, kedua-dua cucunya sudah tinggal bersamanya sejak kecil selepas ibu dan bapa mereka berpisah.

Katanya, arwah Shahir juga seorang bapa yang terlalu menyayangi anak-anak sehingga tidak pernah memarahi mereka.

“Arwah memang terlalu sayangkan anak-anak. Mereka buat salah pun dia tak marah. Saya pula orang tua, kenalah lebih tegas. Kalau suruh mandi atau buat sesuatu, saya yang kena selalu ingatkan,” katanya.

Mengulas keadaan dua cucunya selepas mengetahui pemergian bapa mereka, Salmah berkata, kedua-duanya masih sukar menerima hakikat itu.

“Mereka tak pandai cakap rindu, cuma sekarang lebih banyak berdiam diri. Bila sebut nama ayah mereka, mereka cepat sebak.

“Insya Allah, walau susah macam mana sekali pun, saya akan pastikan kedua-dua cucu saya terus bersekolah dan membesar dengan baik,” katanya sambil menahan sebak.

ARTIKEL BERKAITAN

Misteri kehilangan Shahir terungkai, ditemui sebagai mayat tak dituntut

Kes kehilangan Shahir selesai – Polis

Hidup atau mati, biarlah saya jumpa Shahir – Ibu mangsa

Kisah kehilangan Shahir sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas lelaki berusia 46 tahun itu dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah pada jam 5 pagi, 10 Jun lalu, dipercayai untuk mencari durian di dusun milik jabatan pertanian di Relau.

Salmah kemudian membuat laporan kehilangan anaknya pada 12 Jun, namun hanya pada Jumaat lalu keluarga dimaklumkan bahawa Shahir sebenarnya telah meninggal dunia pada 11 Jun selepas disenaraikan sebagai mayat tidak dituntut.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada jam 5.28 petang, 11 Jun akibat Sindrom Koronari Akut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast