KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Mohd Aidil Abdullah mahu memastikan setiap inisiatif dan pembangunan kerajaan negeri dapat dirasai secara menyeluruh sehingga ke kawasan pedalaman sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Aidil yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, berdasarkan maklum balas diterima sepanjang kempen, kebanyakan penduduk mengetahui pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Namun mereka berharap manfaat itu diperluaskan ke kawasan masing-masing.
“Apabila kita cerita tentang apa yang telah dibuat oleh kerajaan PH di Negeri Sembilan, mereka sudah maklum. Cuma mereka mahu segala inisiatif dan perancangan kerajaan negeri itu sampai dan dapat dioptimumkan di tempat mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Menurutnya, antara isu yang perlu diberi perhatian ialah jurang pembangunan antara kawasan berhampiran bandar dengan kawasan pedalaman di DUN Juasseh.
Beliau berkata, terdapat beberapa kawasan terutama berhampiran sempadan Jelebu yang masih berdepan masalah liputan internet sehingga menjejaskan kemudahan penduduk termasuk aspek pendidikan.
“Juasseh ini boleh dikategorikan kepada dua zon. Satu zon berhampiran bandar, manakala satu lagi lebih ke pedalaman.
“Di kawasan pedalaman ini, ada tempat yang liputan internetnya tidak memuaskan malah ada yang langsung tiada, terutama di kawasan berbukit berhampiran sempadan Jelebu.
“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana capaian internet hari ini berkait rapat dengan pendidikan dan kehidupan harian masyarakat,” ujarnya.

Selain itu, Aidil berkata, isu infrastruktur turut menjadi antara perkara yang sering dibangkitkan penduduk sepanjang beliau berkempen.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pencapaian kerajaan negeri di bawah kepimpinan Aminuddin tidak pernah dipertikaikan oleh majoriti penduduk yang ditemuinya.
“Kalau kita tengok rata-rata penduduk yang saya jumpa, tidak ada seorang pun yang memperlekeh atau mempertikaikan apa yang Tok Min sudah lakukan.
“Kadang-kadang isu yang dimainkan hanya bermula di kedai kopi atau perbualan biasa, tetapi jarang orang bercakap tentang apa yang telah dilakukan kerajaan negeri,” katanya lagi.
Menurut Aidil, rekod pentadbiran Aminuddin bersama penjawat awam membuktikan kerajaan negeri mempunyai hala tuju yang jelas dalam membangunkan Negeri Sembilan.
“Saya yakin usaha yang telah dilakukan Tok Min bersama barisan pentadbiran negeri perlu diteruskan. Kerjasama antara kerajaan, penjawat awam dan penduduk juga penting supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Aidil yang mewakili PKR atas tiket PH berdepan saingan tiga penjuru bagi kerusi DUN Juasseh menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ismail Lasim dan calon Bersatu, Mohd Zuhaimi Md Yusof. – MalaysiaGazette
















