KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor kini berada dalam keadaan ‘panik’ apabila melihat perkembangan kerjasama politik antara UMNO dan Pas yang mampu mengubah landskap politik serta merampas semula pentadbiran Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, tuduhan sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengatakan UMNO sanggup ‘cium tapak kaki’ lawan demi kuasa hanya mencerminkan kegelisahan mereka terhadap kebangkitan semula kekuatan politik Melayu.
“UMNO tidak pernah menjadi ‘pak turut’ atau ‘bidak catur’ mana-mana pihak, sebaliknya terus mempertahankan agenda penyatuan Melayu-Islam demi memastikan kestabilan politik dan masa depan rakyat.
“AMK jangan jadi polis moral yang menentukan halal atau haram strategi politik UMNO. Parti mereka sendiri hari ini wujud hasil kerjasama dengan musuh politik yang suatu ketika dahulu mereka tentang habis-habisan.
“Jika formula kerjasama politik itu dianggap halal untuk menyelamatkan mereka, jangan pula apabila UMNO membawa agenda penyatuan ummah, ia dianggap salah,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha AMK Selangor, Ghafurullah Ismail mendakwa UMNO sanggup ‘cium tapak kaki’ lawan demi kuasa dan menyifatkan pendirian Ketua Pemuda UMNO Kapar, Afifi Aris sebagai ‘bermimpi di siang hari’.
Fariz turut mempersoalkan tindakan Ghafurullah yang membangkitkan kemenangan Pas di Parlimen Kapar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa sebagai bukti kekuatan Perikatan Nasional (PN).
“Ghafurullah dengan bangganya menyebut Pas menang Parlimen Kapar dengan majoriti 11,782 undi dan DUN Sementa dengan majoriti 10,039 undi, seolah-olah UMNO tidak tahu peta politik sebenar.
“Tetapi biarkan saya ajar Ghafurullah tentang ‘matematik politik’. Adakah kamu sedar bahawa di DUN Selat Klang, rakan seperti kamu, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid tewas dengan majoriti 8,325 undi kepada calon PN pada PRN 2023?
“Jika Pas begitu hebat di Selangor, kenapa UMNO dan Pas kini bergabung untuk merampas semula Selangor?” soalnya.
Sebaliknya, kata Fariz, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023 menunjukkan masih banyak kerusi yang menyaksikan pertandingan sengit, termasuk kekalahan calon PH kepada PN, sekali gus membuktikan persaingan politik di negeri itu masih terbuka.
“Mereka bercakap soal matematik politik, tetapi gagal melihat gambaran keseluruhannya. Selangor bukan lagi kubu kebal PH seperti dahulu.
“Penyatuan kekuatan UMNO dan Pas akan membuka lembaran baharu politik negeri ini dan menjadi asas untuk mengambil alih semula pentadbiran Selangor pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Fariz turut mendakwa, kerajaan PH Selangor semakin kehilangan sokongan rakyat selepas gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam PRN lalu, selain berdepan tekanan berhubung isu kos sara hidup yang membebankan rakyat.
“Rakyat mahu penyelesaian kepada masalah harian, bukannya retorik politik. Kerajaan Selangor sepatutnya menjawab isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat, bukannya terus menyerang pembangkang,” katanya.
Fariz menegaskan, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukan bermaksud parti itu menyerahkan maruah atau prinsip perjuangan, sebaliknya dibuat atas dasar tanggungjawab demi memastikan kestabilan negara.
“UMNO tidak pernah menjadi bidak catur sesiapa. UMNO tetap menjadi tonggak perjuangan Melayu-Islam dan akan terus memperkukuh kerjasama politik yang mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat.
“AMK sepatutnya berhenti memainkan propaganda murahan dan kembali fokus membantu rakyat.
“Naratif politik kebencian serta serangan peribadi tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi rakyat Selangor,” katanya.
Katanya lagi, Pemuda UMNO akan terus mendukung agenda penyatuan Melayu-Islam.
“Kami yakin gabungan kekuatan UMNO serta PAS mampu menjadi pencabar utama kepada PH dalam usaha merampas kembali pentadbiran Selangor pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















