KUALA LUMPUR – Gabungan Kesatuan Pembantu Tadbir Malaysia (GAPETA) berpandangan kenyataan Perdana Menteri mengarahkan proses kenaikan pangkat terlalu lambat dipercepatkan merupakan satu langkah positif serta membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan dan laluan kerjaya penjawat awam.
Presiden GAPETA, Anuar Mamat berkata, isu tempoh untuk kenaikan pangkat bagi penjawat awam mencecah sehingga lapan tahun malah ada yang sehingga 13 tahun bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan penjawat awam malah turut menjejaskan motivasi, semangat kerja, pembangunan bakat serta peluang kemajuan kerjaya.
Justeru, penambahbaikan terhadap sistem kenaikan pangkat perlu dilaksanakan secara menyeluruh, telus, adil dan berasaskan prestasi serta kompetensi, katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, GAPETA berharap kajian yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengambil kira pandangan kesatuan-kesatuan sekerja yang merupakan stake holder bagi memastikan penyelesaian dan pelaksanaan yang lebih komprehensif dapat dicapai bersama.
Selain mempercepatkan tempoh kenaikan pangkat, GAPETA turut mencadangkan agar kerajaan meneliti dan menetapkan tempoh maksimum yang munasabah atau lebih pendek bagi proses kenaikan pangkat pada waktu ini yang menunggu masa sembilan hingga 13 tahun.
Menambah perjawatan kenaikan pangkat di skim-skim yang mengalami kesesakan (bottleneck), menyemak semula laluan kerjaya bagi skim perkhidmatan yang mempunyai peluang kemajuan terhad dan memastikan proses penilaian dan kenaikan pangkat dilaksanakan secara lebih telus, objektif dan berintegriti.
Selain itu, kerajaan kena memperkasakan pembangunan kompetensi sebagai nilai tambah tanpa menafikan hak penjawat awam yang layak.
GAPETA juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen berterusan dalam Kenaikan gred Skim Pembantu Tadbir ke Gred 5 yang dalam tindakan JPA dan akan dilaksanakan pada bulan Jan 2027.
“Harapan agat JPA juga memanggil GAPETA atau kesatuan sekerja skim tersebut untuk mendegar pandangan mereka dalam pelaksanaan skim tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette















