JEMPOL – Tindakan membakar bendera parti ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai perbuatan keterlaluan yang bercanggah dengan nilai Islam serta budaya politik yang diajar Rasulullah SAW.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong, Muhammad Zahin Zinal Abidin berkata, platform kempen sepatutnya menjadi medan pertandingan idea, dasar dan khidmat kepada rakyat bukan pentas provokasi, vandalisme serta budaya kebencian.
Menurut beliau, Rasulullah SAW mengajar umat Islam supaya berdepan dengan perbezaan pandangan secara beradab, menggunakan hujah dan akhlak bukan melalui tindakan menghina atau merosakkan hak pihak lain.
“Politik bukan medan untuk kita hilang pertimbangan. Rasulullah SAW sendiri berhadapan dengan musuh dan perbezaan pandangan dengan penuh hikmah serta akhlak.

“Tetapi hari ini ada pihak yang sanggup membakar bendera hanya kerana berbeza pilihan politik. Itu bukan budaya Islam, bukan budaya demokrasi matang dan bukan contoh yang baik kepada masyarakat,” katanya.
Mesra dikenali Bong, beliau amat kesal apabila bendera PH di sekitar Felda Palong 9 didakwa dibakar oleh sekumpulan individu tidak dikenali lewat malam kelmarin
Katanya, insiden itu disusuli pula dengan kejadian tiga buah billboard kempen di sekitar Felda Palong 7 dan Felda Palong 8 yang didapati dirosakkan serta dirobek pada pagi semalam.
Calon DUN Palong itu berkata demikian ketika mengulas insiden pembakaran bendera semasa tempoh kempen PRN Negeri Sembilan yang sedang berlangsung.
Katanya, tindakan sedemikian hanya mencetuskan suasana tegang serta mencemarkan proses demokrasi yang sepatutnya berlangsung secara aman.
“Perbuatan seperti ini tidak mencerminkan semangat demokrasi yang sihat serta mencemarkan nilai ketamadunan dan siasah yang sepatutnya menjadi asas dalam sesebuah pilihan raya.
“Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya diterjemahkan melalui tindakan vandalisme atau provokasi melampau. Politik tidak sepatutnya menghalalkan perbuatan khianat terhadap harta benda pihak lain,” katanya.
Beliau berkata, kempen pilihan raya seharusnya menjadi ruang kepada rakyat menilai calon berdasarkan rekod, dasar dan kemampuan membawa pembangunan kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua parti politik dan penyokong agar menghormati proses demokrasi dengan berkempen secara matang, beretika serta mematuhi undang-undang.
Dalam masa sama, Bong memaklumkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kedua-dua insiden tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Zahin turut mengingatkan seluruh jentera Pakatan Harapan N06 DUN Palong supaya kekal bertenang dan tidak bertindak di luar batas undang-undang.
“Saya menyeru seluruh jentera PH DUN Palong agar terus bersabar dan tidak membalas sebarang provokasi. Kita buktikan kematangan politik dengan berkempen secara beradab sehingga hari pengundian,” katanya. – MalaysiaGazette
















