Mohd Yussof Latiff.

GEORGE TOWN – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berpandangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai UMNO demi masa depan politik orang Melayu.

Beliau berkata, Bersatu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin kini semakin terpinggir daripada arus perdana politik selepas berdepan krisis dalaman parti selain kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Pas.

Menurutnya, kegagalan Bersatu memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO memenangi 48 kerusi, menunjukkan kedudukan parti itu semakin sukar.

“Pas yang menganggotai PN pula mengajak ahlinya menyokong calon BN pada PRN Johor selain menjalinkan hubungan politik dengan UMNO di negeri itu.

“Bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan yang akan berlangsung tidak lama lagi pula, menyaksikan Bersatu yang kecewa dengan Pas telah bertanding menggunakan lambang sendiri.

“Maknanya Bersatu bergerak solo dalam pilihan raya ini. Kesannya sudah pasti lebih mencabar dan mungkin semua calonnya bukan sahaja tewas tetapi hilang wang deposit seperti yang dialami Bersatu pada Pilihan Raya Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yussof, ketika Pas dan UMNO sedang membina satu keluarga besar bagi mengisi kelompongan perjuangan orang Melayu serta bersatu menghadapi pelbagai cabaran politik negara, Bersatu pula dilihat semakin terpinggir.

Beliau berkata, Bersatu tidak mempunyai masa depan yang baik jika terus bergerak secara solo kerana hubungannya dengan Pas mengecewakan, manakala hubungan dengan UMNO juga sukar dipulihkan memandangkan parti itu melihat Bersatu sebagai pengkhianat selepas ditubuhkan daripada UMNO.

“Parti Bersatu adalah serpihan daripada parti besar Melayu iaitu UMNO. Tan Sri Muhyiddin dan ramai ahli Bersatu berasal dari UMNO. Mereka ‘berdarah’ UMNO dan cara fikir pun cara UMNO.

“Maka eloklah dengan segala kesedaran kembali kepada UMNO khususnya apabila UMNO kini membuka pintunya kepada bekas-bekas ahli UMNO sama ada dipecat, digantung atau yang meninggalkan UMNO,” katanya.

Tambah beliau, Muhyiddin mempunyai peranan besar untuk menguatkan UMNO serta mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap parti itu kerana memiliki pengaruh dan pengalaman luas mengenai politik orang Melayu.

“Pemimpin UMNO juga perlu melihat senario yang lebih besar dan tidak hanya memberi tumpuan kepada hubungan dengan Pas sebaliknya mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO melalui penyatuan serta silaturahim yang ikhlas dalam kalangan pemimpin politik Melayu.

“Masa belum terlambat lagi. Bersatu sebagai adik kecil perlu bersama abangnya UMNO untuk memajukan politik orang Melayu khususnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast