KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka Computer Forms (Malaysia) Bhd (CFM) serta mendenda lapan pengarah syarikat itu berjumlah RM2 juta kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (Main LR).
Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia Securities berkata, pengarah terbabit melanggar Perenggan 16.13(b) Main LR kerana membenarkan CFM melakukan pelanggaran berkenaan.
Bursa Malaysia Securities berkata, pengumuman oleh CFM pada 5 Jan, 2023 berhubung perjanjian usaha sama (JVA) dengan EA Mobility Holding Co Ltd adalah tidak tepat.
Ini berikutan pengumuman itu mengandungi maklumat yang tidak mencukupi untuk membolehkan para pelabur membuat keputusan pelaburan secara bermaklumat, selain mengelirukan kerana tidak mendedahkan fakta penting.
Pengumuman itu juga gagal mendedahkan kewujudan perjanjian pemegang saham yang ditandatangani pada hari sama, yang memberikan hak kepada EA Mobility untuk menghendaki CFM membeli pegangan sahamnya dalam syarikat usaha sama sekiranya tempahan tertentu bas elektrik dan pembayaran tunai berjumlah RM12.5 juta gagal diperoleh sebelum 30 Jun, 2023, menurut bursa itu.
Selain itu, Bursa Malaysia Securities mendapati kenyataan media CFM bertarikh 3 Julai, 2023 turut gagal mendedahkan bahawa syarikat itu tidak memenuhi syarat di bawah JVA berkenaan, termasuk mendapatkan tempahan yang disahkan bagi 200 bas elektrik serta pembayaran tunai terkumpul sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum tarikh akhir 30 Jun, 2023.
Bursa itu turut memaklumkan bahawa kenyataan media tersebut juga tidak memaklumkan bahawa JVA itu berisiko ditamatkan berikutan EA Mobility berhak melaksanakan opsyen jual susulan kegagalan memenuhi syarat berkenaan, yang sekali gus boleh menyebabkan perjanjian pemegang saham dan perjanjian usaha sama ditamatkan secara automatik.
“Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran ini kerana pendedahan maklumat penting yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan secara bermaklumat, memastikan pasaran sekuriti yang teratur dan adil serta mengekalkan integriti pasaran dan keyakinan pelabur,” katanya. – BERNAMA
















