KUALA LUMPUR – Hampir 15 tahun terlibat dalam kerja kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Klaus Lim merupakan usahawan muda berusia 38 tahun dinobatkan sebagai penerima Outstanding Young Rotarian CSR Award 2025–2026 pada Majlis Anugerah Tahunan Rotary International Distrik 3310 baru-baru ini.
Beliau yang mewakili Kelab Rotary Batu Pahat berkata, pengiktirafan itu adalah komitmennya dalam menggerakkan pelbagai projek kebajikan sekali gus membuktikan belia Malaysia mampu mencipta impak besar di peringkat global.
Dengan pengalaman lebih sedekat itu, Klaus berpegang kepada prinsip Rotary iaitu Berkhidmat Melebihi Diri Sendiri dengan mengetuai serta menyertai pelbagai projek kebajikan di lebih 10 negara yang memberi manfaat kepada lebih 700,000 penerima.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk bantuan pendidikan, pembasmian kemiskinan, bantuan perubatan, pembangunan belia, khidmat komuniti serta penyediaan bantuan guaman kepada ibu bapa tunggal dan golongan rentan menerusi kerjasama dengan peguam serta golongan profesional.
“Selain itu, saya juga aktif mempromosikan pendidikan antibuli di sekolah serta kempen kesedaran antidadah bagi membentuk sahsiah dan meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan remaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, Anugerah Tahunan Rotary International Distrik 3310 itu melibatkan penyertaan Kelab Rotary dari Malaysia, Singapura dan Brunei dengan kira-kira 73 kelab bersaing bagi pelbagai kategori.
Ketika negara berdepan bencana banjir dan pandemik CovidD-19, Klaus turut memainkan peranan penting sebagai sukarelawan dengan mengumpul bekalan makanan, keperluan asas, peralatan perubatan, kelengkapan belajar kepada keluarga yang terjejas serta golongan memerlukan.
“Selain aktif dalam kerja kemanusiaan, saya juga membantu dalam pembangunan kepimpinan belia dengan menggalakkan penyertaan anak muda dari lebih 10 negara mengikuti pelbagai program sukarelawan dan bantuan kemanusiaan antarabangsa.
Klaus turut mendedikasikan anugerah itu kepada rakan-rakan Rotary, pasukan sukarelawan, agensi kerjasama serta semua pihak yang selama ini menyokong pelbagai usaha kebajikan yang dilaksanakannya.
Menurut Klaus, pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk terus memperluaskan jaringan kebajikan, menghimpunkan lebih ramai belia dalam misi kemanusiaan serta memastikan lebih ramai golongan memerlukan menerima bantuan.
Katanya, penganugerahan berkenaan bukan sahaja menjadi simbol pengiktirafan terhadap dedikasinya dalam bidang kebajikan malah membuktikan keupayaan belia Malaysia untuk memberi impak yang signifikan di peringkat antarabangsa. – MalaysiGazette
















