JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan menyifatkan Manifesto PH Negeri Sembilan sebagai pelan pembangunan menyeluruh.
Ia memberikan hala tuju jelas untuk memastikan negeri itu terus maju, stabil dan sejahtera, katanya.
Menurutnya, manifesto yang dilancarkan di Klana Resort, Seremban semalam menggariskan 10 teras utama yang bukan sahaja memacu pembangunan negeri malah mampu memenuhi keperluan rakyat di semua lapisan masyarakat termasuk di Jeram Padang.
Antara fokus manifesto itu ialah memperkukuh tadbir urus kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat, memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR), mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, menyediakan pendidikan berkualiti serta membina 20,000 rumah mampu milik di samping menyelesaikan isu tanah.
“Manifesto ini turut memberi penekanan kepada pembangunan belia, wanita dan keluarga, pemerkasaan sektor pelancongan, pertanian moden, infrastruktur strategik, perkhidmatan kesihatan berkualiti serta pengukuhan perpaduan dan keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Manivanan komited menjadi wakil rakyat yang mengutamakan tadbir urus cekap, telus dan berintegriti dengan sentiasa mendengar suara rakyat serta memastikan setiap amanah dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, perpaduan menjadi kekuatan utama Jeram Padang yang dihuni masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli serta komuniti FELDA dan FELCRA.
“Saya percaya pembangunan hanya benar-benar bermakna apabila setiap lapisan masyarakat diberi peluang yang adil, saling menghormati dan bersama-sama menikmati hasil kemajuan tanpa ada yang tercicir,” katanya.
Menurut beliau, manifesto yang dibawanya di Jeram Padang turut memberi penekanan kepada penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan belia, menaik taraf kemudahan asas, memperkukuh kebajikan rakyat serta memastikan pembangunan yang adil dan inklusif.
Beliau berkata, usaha itu selari dengan aspirasi manifesto PH Negeri Sembilan untuk membina negeri yang lebih makmur, progresif dan sejahtera.
Dalam pada itu, Manivanan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan isu yang menjadi keutamaan penduduk Jeram Padang dapat diselesaikan secara berkesan.
Katanya, antara isu yang akan diberi perhatian termasuk peluang pekerjaan, bekalan air, jalan raya, liputan internet, kebajikan warga emas, wanita, belia, veteran, pesara, masyarakat Orang Asli serta pembangunan kawasan FELDA dan FELCRA.
“Manifesto PH Negeri Sembilan memberikan hala tuju yang jelas kepada pembangunan negeri, manakala manifesto saya di Jeram Padang adalah komitmen untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar dirasai manfaatnya oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Dengan sokongan rakyat, saya yakin kita mampu membawa Jeram Padang menjadi sebuah kawasan yang lebih maju, inklusif, harmoni dan sejahtera selaras dengan aspirasi PH Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette
















