Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa memperkasa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pembelajaran pengekodan (coding), pendidikan teknologi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua sekolah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring perkembangan teknologi global supaya pelajar bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah mampu mencipta inovasi yang memberi nilai tambah kepada negara.

“Negara-negara maju seperti Singapura, Korea Selatan dan China telah memperkenalkan AI, coding serta robotik kepada pelajar sejak di bangku sekolah.

“Persoalannya, adakah kita mahu anak-anak Malaysia hanya menjadi pengguna teknologi atau kita mahu mereka menjadi pencipta teknologi?

“AI bukan lagi teknologi masa hadapan, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian yang perlu dimanfaatkan secara beretika sebagai alat bantu pembelajaran di sekolah,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut beliau, selain AI, kerajaan juga perlu memperkukuhkan pembelajaran pengekodan, robotik, keselamatan siber, analisis data dan literasi digital bagi memastikan murid memiliki kemahiran abad ke-21 yang relevan dengan keperluan industri.

“Saya mencadangkan supaya pendidikan TVET diperkenalkan lebih awal kepada pelajar sekolah bagi mengubah persepsi bahawa bidang itu hanya menjadi pilihan kedua,” katanya.

Farhan berkata, TVET perlu diangkat sebagai laluan utama untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang automasi, teknologi pintar, kecerdasan buatan, kejuruteraan, elektronik dan industri digital.

“Langkah ini mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak-anak muda,” katanya.

Jelasnya, perubahan landskap ekonomi digital turut menyaksikan semakin ramai usahawan muda menjana pendapatan melalui pembangunan aplikasi, e-dagang, pemasaran digital dan inovasi berasaskan AI.

“Pendedahan awal terhadap kemahiran digital di sekolah mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja bersedia memasuki pasaran pekerjaan, malah berupaya mencipta peluang pekerjaan sendiri melalui syarikat teknologi dan perusahaan digital,” katanya.

Dalam pada itu, Farhan berkata, kejayaan agenda pendigitalan pendidikan memerlukan komitmen kerajaan untuk menyediakan capaian internet berkualiti, makmal komputer yang moden serta latihan berterusan kepada guru.

“Ia bagi memastikan teknologi dapat diaplikasikan secara berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru Pemuda UMNO menjadi pelopor kepada transformasi pendidikan negara dengan menjadikan AI, TVET dan ekonomi digital sebagai agenda utama demi melahirkan modal insan berdaya saing di peringkat global.

“Pemuda UMNO tidak boleh hanya bercakap mengenai masa depan, sebaliknya mesti membina masa depan.

“Pendidikan berasaskan AI, TVET dan ekonomi digital merupakan pelaburan terbaik untuk memastikan anak-anak Malaysia menjadi peneraju dunia, bukannya sekadar pengguna teknologi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast