KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menyerahkan enam projek siap bernilai RM83.46 juta kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi memperkukuh perlindungan terhadap risiko banjir dan hakisan pantai.
Enam projek itu merangkumi tiga projek kawalan hakisan pantai, satu projek pemuliharaan pantai dan dua projek mitigasi banjir sungai yang bertujuan melindungi nyawa, harta benda serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Petra dalam kenyataannya berkata, tiga projek kawalan hakisan pantai di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor bernilai keseluruhan RM9.26 juta melibatkan Projek Kawalan Hakisan dan Memperkukuhkan Benteng Pantai di Sungai Haji Dorani, Pantai Batu 23 serta Kampung Sungai Janggut dan Kampung Tok Adam.
“Ketiga-tiga projek ini bertujuan menaik taraf dan memperkukuh struktur perlindungan pantai serta memulihkan kawasan pesisir yang terjejas akibat hakisan.
“Projek dijangka dapat mengurangkan ancaman hakisan dan limpahan air laut, khususnya semasa fenomena air pasang besar selain melindungi kawasan pertanian dan penempatan penduduk,” menurut kenyataan itu.
Petra turut memaklumkan Projek Pemuliharaan Pantai Morib yang menelan kos RM60.5 juta telah siap sepenuhnya pada 1 Julai lalu selepas bermula pada September 2023.
Projek itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk setempat melalui pengurangan risiko hakisan pantai.
Petra juga menyerahka, dua projek mitigasi banjir sungai iaitu kerja pengukuhan tebing Sungai Penchala di Petaling Jaya bernilai RM4.3 juta dan Projek Menaik Taraf Sungai Kemensah di Hulu Kelang, Gombak dengan kos RM9.4 juta.
“Projek Sungai Penchala dijangka mengurangkan risiko runtuhan tebing sepanjang kira-kira 10 kilometer sungai serta melindungi 5,000 penduduk di lembangan sungai berkenaan.
“Sementara itu, projek Sungai Kemensah yang melibatkan pengukuhan tebing dan peningkatan kapasiti aliran sungai sepanjang 1.6 kilometer dijangka menstabilkan tebing, mengurangkan hakisan serta melindungi kira-kira 200 rumah, premis dan infrastruktur awam daripada kerosakan akibat banjir,” tambah kementerian tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Petra turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan 25 projek di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Tahun 2026 bagi Selangor dengan kos keseluruhan RM3.639 bilion.
Projek itu melibatkan 16 projek sambungan dan sembilan projek baharu yang merangkumi tebatan banjir, menaik taraf sistem saliran, pemulihan koridor sungai dan hakisan pantai serta pembangunan infrastruktur mekanikal dan elektrikal.
Menurut Petra, Kerajaan Persekutuan kekal komited memperkukuh daya tahan Selangor terhadap risiko banjir dan hakisan pantai melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat serta menyokong pembangunan sosioekonomi mampan selaras aspirasi Malaysia Madani. – MalaysiaGazette
















