SERI MENANTI – Calon Bersatu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mempersoalkan kadar sewa lesen yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap peniaga di kawasan itu yang didakwanya mencecah hampir RM1,000 setahun.
Beliau mendakwa kadar tersebut tidak lagi selari dengan keadaan ekonomi semasa terutama ketika ramai peniaga kecil masih bergelut dengan peningkatan kos operasi dan kuasa beli pengguna yang belum pulih sepenuhnya.
“Saya hairan kenapa peniaga di sini perlu membayar hampir RM1,000 setahun sedangkan ada kawasan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya sekitar RM30 sahaja.
“Dalam keadaan kuasa beli semakin lemah, kita sepatutnya membantu peniaga, bukannya menambah beban mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Seri Menanti hari ini.

Megat berkata, isu itu mungkin dilihat kecil namun memberi kesan besar kepada peniaga mikro yang bergantung kepada keuntungan harian untuk meneruskan operasi.
“Ramai peniaga sekarang bukan tak mahu berniaga tetapi mereka berdepan pelbagai kos yang semakin meningkat. Bila pelanggan semakin kurang, kos pula bertambah, akhirnya ramai yang hanya berniaga sekadar untuk bertahan,” katanya.

Beliau berkata, ahli majlis dan pihak PBT seharusnya memainkan peranan lebih proaktif dengan mencari mekanisme yang boleh mengurangkan beban peniaga tempatan khususnya golongan berusia 45 tahun ke atas yang menjadi kelompok terbesar menjalankan perniagaan kecil di kawasan berkenaan.
Katanya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk menyemak semula kadar sewa, memperbanyakkan promosi kepada peniaga tempatan serta meningkatkan kehadiran pengunjung ke pusat-pusat jualan.
Megat turut mendakwa keadaan sama dapat dilihat di pasar tani apabila jumlah pelanggan semakin berkurangan berbanding sebelum ini.
“Saya sendiri cuba membantu mempromosikan pasar tani dan kedai-kedai tempatan. Tetapi kalau tiada pembeli dan kos operasi terus meningkat, peniaga tetap berdepan kesukaran. Akhirnya mereka hilang semangat untuk terus berniaga,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan ekonomi sesebuah kawasan tidak seharusnya hanya diukur melalui projek fizikal semata-mata sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peningkatan pendapatan peniaga tempatan dan kemampuan mereka mengekalkan perniagaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, pengundi pada PRN kali ini perlu memilih calon yang benar-benar memahami cabaran ekonomi di peringkat akar umbi serta mampu membawa penyelesaian kepada isu yang dihadapi peniaga dan penduduk setempat. -MalaysiaGazette
















