Pegawai Imigresen menyoal warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang dan eksploitasi buruh paksa selepas menyelamatkan seorang wanita warga negara sama yang didakwa dipaksa bekerja tanpa gaji di Jenjarom, Selangor, pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Sri Lanka berusia 38 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang dan eksploitasi menerusi operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA JIM di sekitar Jenjarom, Selangor.

Ia susulan kejayaan JIM menyelamatkan seorang wanita warga Sri Lanka yang mendakwa dipaksa bekerja tanpa gaji di Jenjarom, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, selain suspek, pihaknya turut menahan enam lagi warga Sri Lanka berusia antara 21 hingga 51 tahun.

Mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Siasatan awal mendapati, mangsa diperdaya dengan tawaran pekerjaan serta janji mendapatkan permit kerja sebelum dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah premis makanan milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai dipaksa bekerja tanpa menerima gaji, tidak diberikan makanan mencukupi, pergerakannya dikawal serta mengalami kekerasan fizikal sebagai bentuk ugutan dan intimidasi.

Sehubungan itu, JIM telah memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) terhadap mangsa selaras dengan peruntukan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Menurut Zakaria, suspek yang memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLS) melalui perkahwinan dengan seorang warganegara Malaysia ditahan mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 [Akta 670] dan turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

Katanya, enam warga asing yang turut ditahan akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang sedang berkuat kuasa.

“JIM memandang serius sebarang bentuk eksploitasi pekerja, buruh paksa dan pemerdagangan orang. Setiap mangsa yang dikenal pasti akan diselamatkan, dilindungi serta diberikan bantuan sewajarnya.

“Mana-mana pihak yang mengeksploitasi pekerja atau terlibat dalam aktiviti pemerdagangan orang akan dikenakan tindakan tegas berdasarkan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan eksploitasi pekerja, pemerdagangan orang dan penyalahgunaan kemudahan imigresen bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast