KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin bertekad mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan itu bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar.
Menurutnya, kekurangan peluang pekerjaan merupakan antara isu utama yang dibangkitkan penduduk sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sehingga menyebabkan ramai anak muda terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki di luar.
Katanya, tumpuan akan diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi setempat melalui pembangunan sektor pelancongan, makanan dan perusahaan kecil supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan di Senaling.
“Isu utama di Senaling ialah peluang pekerjaan untuk anak muda yang masih terhad. Sebab itu ramai terpaksa bekerja dan menetap di luar kawasan.
“Kita mahu mengembangkan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan, makanan dan produk tempatan supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan di Senaling sendiri.
“Kita tidak bercakap mengenai industri yang terlalu besar, tetapi bagaimana ekonomi tempatan boleh berkembang sehingga memberi peluang pekerjaan kepada anak muda.
“Apabila mereka mempunyai pekerjaan di sini, mereka tidak perlu lagi berhijrah ke bandar dan boleh terus tinggal untuk membangunkan kampung halaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkempen di Felda Kepis bersama Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di sini, hari ini.
Hanis yang juga Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan berkata, antara tawaran yang akan diberi keutamaan ialah memperluaskan bantuan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta latihan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran belia.
Selain itu, beliau mahu mewujudkan pusat peluang kerjaya dan keusahawanan belia yang menyediakan karnival kerjaya secara berkala, bengkel penyediaan resume, latihan keusahawanan serta pemasaran digital.
“Bila anak muda mempunyai kemahiran dan peluang pekerjaan di kawasan sendiri, mereka tidak lagi perlu berhijrah ke bandar. Mereka boleh kekal di Senaling dan sama-sama memajukan kampung,” ujarnya.
Beliau berkata, kemudahan untuk golongan belia termasuk infrastruktur sukan juga akan dipertingkatkan bagi menyediakan ruang pembangunan bakat serta aktiviti kesukarelawanan.
Dalam masa sama, Hanis berkata, kebajikan golongan warga emas dan pesara tidak akan dipinggirkan memandangkan Senaling mempunyai ramai penduduk dalam kelompok tersebut.
“Senaling juga menjadi tempat tinggal ramai pesara. Kita mahu memastikan infrastruktur asas seperti jalan kampung, lampu jalan, sistem perparitan serta penyelenggaraan kemudahan awam terus diberi perhatian supaya kehidupan mereka lebih selesa,” katanya lagi,
Hanis berkata, beliau turut merancang memperkenalkan Tabung Prihatin Rakyat Senaling bagi membantu golongan memerlukan, selain memperkasa usahawan mikro dan wanita menerusi latihan keusahawanan serta pemasaran digital.
Beliau berkata, pembangunan ekonomi tempatan perlu menjadi pemangkin utama supaya Senaling mampu muncul sebagai destinasi pelancongan makanan Negeri Sembilan sekali gus membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada penduduk.
“Fokus saya jelas iaitu membina ekonomi setempat yang kukuh, mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di Senaling,” katanya. -MalaysiaGazette
















