Datuk Mustafa Nagoor

JEMPOL – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya jika ada jenteranya terlibat dalam perbuatan mengkhianati atau merosakkan bendera parti lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Datuk Mustafa Nogoor menegaskan, jentera parti lebih memberi tumpuan kepada usaha mendekati rakyat serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan penyokong berbanding melakukan provokasi politik.

Katanya, setakat ini, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan yang mengaitkan jentera BN dengan perbuatan sedemikian sekali gus menolak dakwaan itu secara keseluruhan.

“Kami tak ada masalah nak khianat orang. Kerja kami pun banyak. Kami lebih suka habiskan masa mendekati rakyat dan mengeratkan silaturahim serta kasih sayang.

“Itu fitnah, saya tolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa jika ada jentera Barisan Nasional (BN) terlibat dalam perkara seumpama itu,” katanya yang mesra disapa sebagai Pak Mus.

Dalam perkembangan sama, Mustafa berkata, pengalaman berkempen ketika penggal lalu membantunya meneruskan sesi kempen kali ini dengan baik kerana telah mengenali penduduk di sini.

Ujarnya proses kempen berjalan lancar yang dibantu oleh jentera BN yang tidak pernah kenal erti penat turun padang di sekitar Felda.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dan penduduk menyambut baik kehadiran BN kerana sudah biasa bersama mereka. Sibuk dengan aktiviti program santai, ziarah kasih dan sesi walkabout dari awal pagi untuk bertemu seramai mana penduduk di sini,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika diminta reaksi isu perbuatan khianat terhadap banhan kempen di sekitar Felda Palong di sini hari ini.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kenyataan insiden bendera dibakar dan bahan kempen dikhianat di beberapa Lokasi termasuk di Felda Palong.

Mustapha mewakili BN-UMNO akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN 2023.

Beliau bakal dicabar oleh Muhammad Zahin Zinal Abidin daripada PKR yang mewakili PH manakala Bersatu mempertaruhkan Rebin Birham.

DUN Palong mempunyai seramai 23,555 pengundi berdaftar, sekali gus menjadikan setiap undi bakal memainkan peranan penting kepada pemilih dalam memilih calon.

Pada PRN 2023, Mustapha berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti tipis 564 undi, menjadikan persaingan kali ini dijangka lebih sengit susulan perubahan landskap politik dan pertembungan tiga penjuru.  – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Bakar bendera ketika kempen bukan budaya politik Nabi, tiada adab dalam demokrasi – Bong

Bendera Harapan dibakar, pancang dirosakkan: PH N. Sembilan gesa hentikan politik kebencian

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast