SEREMBAN – Kerajaan MADANI membawa pendekatan baharu dalam melaksanakan projek pembangunan dengan memberi penekanan kepada ketelusan dan manfaat terus kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan lama hanya menguntungkan segelintir pihak tidak lagi boleh diteruskan kerana setiap projek mesti memberi pulangan kepada masyarakat.
Menurutnya, projek penyelenggaraan sungai di Negeri Sembilan menjadi contoh bagaimana kerajaan melaksanakan pendekatan lebih telus apabila hasil daripada pengeluaran pasir digunakan semula bagi membiayai kerja penyelenggaraan.
“Itulah bezanya sekarang. Dulu orang ambil peruntukan tetapi kerja tidak siap.
“Sekarang kita minta syarikat laksanakan kerja, hasil daripada projek itu digunakan semula untuk kepentingan rakyat,” katanya berucap pada program santai bersama pengundi di Medan Selera Ampangan, di sini, hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menjelaskan kerajaan juga mengadakan rundingan dengan pemaju bagi memastikan pembangunan baharu turut menyediakan kemudahan kepada penduduk setempat.
Jelas Anwar, setiap pembangunan perlu memberi manfaat kepada komuniti, bukan sekadar keuntungan kepada syarikat.
“Kalau ada pembangunan hotel misalnya, kita runding supaya pembangunan masyarakat turut diberikan perhatian. Ini pendekatan kerajaan hari ini.
“Oleh kerana itu, rakyat perlu terus menyokong usaha membanteras ketirisan serta memilih pemimpin yang amanah pada PRN kali ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















