KUALA LUMPUR – Percaturan politik tanah air dijangka menyaksikan kejutan jika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) diadakan pada hujung tahun ini, demikian menurut bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming.
Beliau berkata, tumpuan pastinya tertumpu ke arah bentuk kerjasama baharu serta keyakinan komuniti pelabur asing terhadap kestabilan ekonomi negara.
Menurut beliau, landskap politik semasa menunjukkan perkembangan menarik khususnya membabitkan dinamik kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Bibit-bibit persefahaman awal yang kelihatan apabila tular mengenai pertemuan Datuk seri Hamzah Zainudin dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand sebelum ini yang mana kita lihat akan ada kerjasama antara mereka.
“Persefahaman di antara BN dan PN yang tidak begitu ketara di Johor telah dinaik taraf di Negeri Sembilan.
“Kekuatan BN dan PN ini akan memberi satu gelombang yang bukan sahaja gelombang biru tetapi juga gelombang hijau sikit, iaitu ‘biru-hijau’,” katanya ketika menjadi panel program Skop MG terbitan MalaysiaGazette.

Kian Ming menambah, naratif perpaduan ummah dan perpaduan Melayu merupakan satu sentimen yang sangat kuat di lapangan, menjadikan gelombang berkenaan datang begitu ketara sehingga PRN Negeri Sembilan dilihat lebih memihak kepada PN dan BN.
Menyentuh mengenai dinamik hubungan politik antara gabungan yang sering bercelaru, Kian Ming berpendapat, PRN Negeri Sembilan sepatutnya dijadikan landasan untuk memberi gambaran lebih jelas kepada pengundi berhubung strategi Pakatan Harapan (PH) mahupun kerjasama BN-PN menuju PRU16.
“Perselisihan dan tindakan saling mencaci antara pimpinan BN dan PH yang berlarutan tidak memberikan sebarang manfaat. Saya rasa boleh dikatakan back and forth di mana pemimpin BN nak caci pemimpin PH, PH pun nak mencaci pemimpin BN.
“Saya rasa lebih baik jikalau nak bercerai, bercerai dengan secepat mungkin dan mengadakan PRU, supaya boleh memberi mandat baharu kepada pengundi yang akan membentuk kerajaan baharu.
“Saya rasa itu adalah kepentingan utama PRN Negeri Sembilan ini,” katanya.
Mengulas mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kian Ming melihat ‘nilai tambah’ yang dibawa parti itu semakin menyusut berikutan pelbagai pergolakan dalaman dan percaturan politik yang tidak menjadi.
“Penghijrahan ramai pemimpin Bersatu ke parti baharu, Parti Wawasan Negara juga turut menyulitkan lagi kedudukan parti berkenaan.
“Pengaruh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat semakin merosot.
“Modal Muhyiddin sendiri sebagai pemimpin telah turun begitu banyak. Dalam percaturan politik ini, kita boleh katakan beliau sudah checkmate, lebih-lebih lagi apabila Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya menggantikan beliau sebagai Pengerusi PN yang mempunyai hak menandatangani watikah calon.
“Walaupun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba bertindak sebagai strategis dengan meletakkan 24 kerusi bertanding di Negeri Sembilan untuk menunjukkan Bersatu masih important player, pengaruh beliau sebenarnya hanya ada di Selangor dan tidak begitu terbukti di Negeri Sembilan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai kebimbangan impak PRU-16 jika diadakan tahun ini khususnya terhadap momentum pertumbuhan ekonomi negara yang kini menunjukkan trend positif di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kian Ming menegaskan, pasaran dan pelabur luar memerlukan kepastian.
“Hasil pertemuan bersama komuniti pelabur asing di Malaysia dan Singapura, saya dapati golongan pelabur tidak mempunyai masalah sekiranya BN kembali mengemudi kerajaan.
“Pelabur asing okay jika BN kembali menjadi kerajaan kerana BN adalah entiti yang sangat dikenali oleh mereka. Bagi mereka, PN atau Pas boleh menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
“Namun untuk jawatan penting seperti Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), ia perlu disandang oleh pemimpin BN yang boleh meyakinkan pelabur asing dan komuniti perniagaan,” ujarnya.
Beliau menambah, BN mempunyai barisan pemimpin berpengalaman yang cukup berwibawa untuk menggalas portfolio kritikal tersebut, antaranya Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang pernah memegang portfolio Menteri Kewangan II.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, penggal Parlimen ke-15 akan tamat dan terbubar secara automatik pada 18 Disember 2027 atau 19 Disember 2027.
Berdasarkan undang-undang, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.
Ia bermakna tarikh paling lewat untuk PRU16 adalah pada Februari 2028.
Jika benar PRU16 akan diadakan pada penghujung tahun ini, ia bermakna tempoh pentadbiran Kerajaan Madani hanyalah kurang daripada tempoh itu. – MalaysiaGazette
















