Azrol Mansor

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri Johor membatalkan lesen operasi Network School di Forest City, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai bukti kerajaan negeri mengutamakan keselamatan, kedaulatan negara dan pematuhan undang-undang berbanding kepentingan lain.

Ketua Penerangan Perkasa, Azrol Mansor berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat tidak boleh dijadikan lokasi  mana-mana pihak menjalankan aktiviti bercanggah dengan undang-undang atau menimbulkan keraguan terhadap aspek keselamatan negara.

Menurut beliau, semua organisasi, institusi dan pelabur asing yang beroperasi di negara ini wajib menghormati undang-undang Malaysia serta mematuhi segala syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Ketegasan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Johor wajar dipuji dan dijadikan contoh kepada semua kerajaan negeri.

“Dalam soal keselamatan negara, tiada ruang untuk bertolak ansur atau mengambil mudah. Sebarang pelanggaran syarat lesen, undang-undang imigresen atau peraturan negara hendaklah disiasat secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Perkasa menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan secara bebas, profesional dan menyeluruh terhadap isu berkenaan.

Katanya, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau ancaman terhadap kepentingan negara, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira pihak yang terlibat.

Selain itu, Perkasa turut menggesa Kerajaan Persekutuan memperketat mekanisme saringan terhadap mana-mana institusi, organisasi dan pelaburan asing yang ingin beroperasi di Malaysia.

Azrol berkata, penguatkuasaan undang-undang yang tegas akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara selain memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan berkualiti tanpa berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast