Calon Pakatan Harapan N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni penduduk sambil mengedarkan risalah manifesto kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Kampung Ujong Pasir, Sikamat, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad berikrar meneruskan legasi pembangunan yang ditinggalkan Datuk Seri Aminuddin Harun dengan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, pembangunan belia dan penambahbaikan infrastruktur.

Beliau berkata, keutamaan pertama sekiranya diberi mandat ialah menilai semula keperluan masyarakat supaya bantuan sedia ada dapat diperkemas dan ditambah baik mengikut keperluan semasa.

Menurutnya, golongan belia memerlukan lebih banyak program pembangunan modal insan serta aktiviti rekreasi yang mampu membentuk generasi muda yang aktif dan berdaya saing.

“Selain kebajikan rakyat, saya mahu memberi perhatian kepada pembangunan belia serta program-program yang memberi manfaat kepada mereka.

“Kita juga melihat banyak kawasan perumahan di Sikamat telah berusia lebih 20 tahun dan memerlukan kerja-kerja naik taraf supaya penduduk dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika berkempen rumah ke rumah di Kampung Ujong Pasir hari ini.

Calon Pakatan Harapan N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni penduduk sambil mengedarkan risalah manifesto kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Kampung Ujong Pasir, Sikamat, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

Memasuki hari kelima kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Nor Azman lebih selesa untuk mendekati pengundi secara langsung menerusi kempen dari rumah ke rumah.

“Pendekatan bersemuka memberi peluang kepada saya memahami keperluan sebenar rakyat selain menjelaskan agenda yang akan dibawa sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.

“Hubungan rapat antara pemimpin dan masyarakat perlu diperkukuhkan bagi memastikan setiap isu yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan secara berkesan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast