Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abbas Azmi

SEREMBAN – Penyertaan Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pilihan raya tanpa kerjasama dengan mana-mana gabungan politik hanya berpotensi ‘mengacau’ undi Pakatan Harapan (PH), kata Parti Amanah Negara (Amanah).

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abbas Azmi berkata, keadaan itu boleh berlaku sekiranya parti Rafizi hanya meraih sokongan kecil dan gagal memenangi kerusi yang ditandingi.

Menurutnya, objektif utama mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya adalah untuk menang dan membentuk kerajaan, bukannya sekadar bertanding secara bersendirian.

“Kalau adanya Parti Bersama, contohnya masuk bertanding dan mendapat sedikit sokongan tetapi tidak cukup untuk menang, ia boleh mengganggu sokongan atau undian parti-parti lain terutamanya PH.

“Kita perlu kembali kepada asas pilihan raya iaitu untuk menang. Jika ada parti bertanding secara bersendirian, bukan sahaja tidak boleh menang malah boleh dianggap mengganggu keputusan undian mana-mana parti sama ada PH, Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penyertaan parti politik baharu yang memilih untuk bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya.

Abbas bagaimanapun mengakui sistem demokrasi negara memberi ruang kepada mana-mana parti untuk bertanding namun setiap penyertaan perlu disertai strategi realistik bagi mencapai matlamat membentuk kerajaan.

“Sudah pasti strategi kita adalah untuk menang pilihan raya. Kalau kita pergi bersendirian, sejarah telah membuktikan tidak ada mana-mana parti yang boleh mengetuai kerajaan dengan memasuki pilihan raya bersendirian.

“Jadi, saya kira itu perlu diambil perhatian khusus supaya medan pilihan raya ini tidak menjadi sesuatu yang sia-sia dan sudah pasti setiap parti yang masuk bertanding mengimpikan untuk menang dan membentuk kerajaan,” katanya.

Menurut Abbas, parti yang bergerak sendiri berdepan risiko lebih tinggi untuk tewas, selain berpotensi memecah-belahkan undi antara parti yang bertanding.

Dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, katanya, setiap parti perlu mempunyai strategi yang tepat bagi memastikan sokongan rakyat dapat diterjemahkan kepada kemenangan.

“Jadi mana-mana pihak termasuk Parti Bersama perlu memikirkan strategi untuk bersama dengan mana-mana koalisi politik supaya objektif kita untuk memastikan parti yang akan mengemudi negeri dan negara itu adalah sebuah parti yang betul-betul menepati inspirasi rakyat Malaysia itu sendiri.

“Apa yang paling penting ialah matlamat kita adalah untuk memastikan kestabilan politik dalam negeri dan negara kita dan itulah yang boleh menjamin kemajuan ekonomi negara dan negeri pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menyeru pengundi terus menyokong PH pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sambil mendakwa Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpotensi menjadi Perdana Menteri sekiranya PH gagal mempertahankan sokongan.

Tony turut mendakwa tindakan mengundi parti yang disifatkannya sebagai ‘parti pengacau’ atau tidak keluar mengundi pada PRU-16 boleh memberikan kelebihan kepada BN.

Label ‘parti pengacau’ oleh Tony itu dipercayai merujuk kepada Bersama pimpinan Rafizi yang didakwa memecahkan undi PH sehingga menyumbang kepada kekalahan gabungan itu di dua kerusi pada PRN Johor baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast