Datuk Seri Takiyuddin Hassan

TAMPIN – “Inilah kita, PN dan BN, satu barisan yang tidak boleh dipisahkan lagi selama-lamanya,” kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Perikatan Nasional (PN) menyifatkan hubungan politik bersama Barisan Nasional (BN) kini semakin kukuh sehingga menganggap BN dan PN sebagai satu pasukan politik.

Susulan itu PN mengeluarkan arahan rasmi kepada seluruh ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, selain menyokong 11 calon PN yang bertanding, ahli dan penyokong gabungan itu turut diarahkan memberi undi kepada semua calon BN di kerusi yang telah dipersetujui menerusi persefahaman antara kedua-dua gabungan.

“Ahli Pas dan ahli parti-parti komponen PN semuanya perlu terikat dengan arahan kita,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Ceramah Gelombang Biru dan Majlis Memperkenalkan Calon BN-PN bagi DUN Gemas, Gemencheh dan Repah di Felda Bukit Rokan malam tadi.

Jelasnya , arahan itu wajib dipatuhi semua parti komponen termasuk Pas bagi memastikan kerjasama BN-PN berjaya memperoleh kemenangan seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Terdahulu ketika berucap, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas menegaskan, arahan itu bukan sekadar seruan sebaliknya kewajipan kepada seluruh ahli Pas di Parlimen Tampin.

“Saya sebagai Setiausaha Agung Pas selain Setiausaha Agung PN menyeru malah mengarahkan semua ahli Pas di Parlimen Tampin keluar mengundi calon BN, Suhaimizan Bizar di Gemencheh, calon PN, Ridzuan Ahmad di Gemas serta calon MCA, Koh Kim Swee di Repah.

“Ini adalah arahan saya sebagai Setiausaha Agung Pas. Ahli Pas wajib keluar mengundi sebagaimana kita diarahkan pada PRN Johor untuk menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan memenangkan calon BN tanpa mengira daripada UMNO, MCA atau MIC,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan persefahaman politik antara BN dan PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan telah dimeterai pada 14 Julai lalu.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengarahkan semua ahli dan penyokong BN mengundi calon PN di 11 kerusi yang tidak ditandingi BN.

Arahan itu selari dengan pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menggesa seluruh ahli dan penyokong PN memberikan sokongan penuh kepada calon-calon BN sebagaimana kerjasama yang telah dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast