SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka kembali bekerjasama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekiranya kedua-dua parti itu gagal memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Hanif Abu Bakar mendakwa, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
Menurut beliau, mesej berkenaan diterima selepas Bersatu mengumumkan keputusan untuk bertanding secara solo pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
“Dalam mesej itu, saya bagi tahu Bersatu akan lawan lebih kurang 24 kerusi. Apa jawapan dia? Dia bagi tahu bahawa lepas pilihan raya ini, PH dan BN akan bekerjasama kembali.
“Sudah setting, kalau siapa tidak percaya datang jumpa saya, (baca) pesanan WhatsApp itu.
“Jadi itu sebab saya bagi tahu, lepas pilihan raya ini sebenarnya akan berlaku, kalau ada pihak yang gagal tubuhkan kerajaan, BN dan juga PH akan kembali bekerjasama,” katanya ketika berucap pada ceramah kempen PRN Negeri Sembilan di Labu.
Hanif berkata, dakwaan itu menguatkan lagi keputusan Bersatu untuk menggunakan logo sendiri dan bertanding secara solo pada PRN kali ini bagi menawarkan alternatif kepada rakyat Negeri Sembilan.
Katanya, Bersatu bersedia menjadi penentu pembentukan kerajaan sekiranya tiada mana-mana parti atau gabungan memperoleh majoriti mencukupi selepas keputusan PRN nanti.
“Andai kata PH pun tak dapat tubuhkan kerajaan, BN pun tak dapat tubuhkan kerajaan, tetapi Bersatu ada kemenangan dan boleh membantu mana-mana pihak tubuhkan kerajaan.
“Rasa PH BN nak ke bekerjasama dengan Bersatu? Takkan punya,” katanya.
Bagaimanapun, Hanif menegaskan Bersatu tidak bertanding pada PRN kali ini untuk bekerjasama dengan PH selepas pilihan raya, sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas.
Beliau berkata, Bersatu mahu membentuk kerajaan sendiri dengan menampilkan calon yang mempunyai kelayakan dan pengalaman bagi memastikan pentadbiran negeri dapat dipimpin oleh barisan yang berkemampuan.
Menurutnya, calon Bersatu yang diketengahkan terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan diploma, ijazah, doktor falsafah (PhD) dan latar belakang profesional termasuk peguam.
“Tujuan kita ialah untuk memastikan kalau kita berjaya membentuk kerajaan, kita mempunyai senarai Exco yang berkelayakan untuk memimpin kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Hanif berkata, keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri dibuat selepas mengambil kira keperluan menawarkan sebuah kerajaan negeri yang stabil kepada rakyat, selain pengalaman politik sejak 2018 yang menurutnya menunjukkan gabungan politik tidak semestinya mampu menjamin kestabilan.
















