PORT DICKSON – Penduduk tempatan seolah-olah tidak sabar merasai nikmat limpahan kekayaan ekonomi di daerah ini selepas pelbagai perancangan dirangka oleh Kerajaan Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini.
Bagi anak tempatan, S. Parameswari, 60, dia yakin Port Dickon akan terus mencatat kemajuan pesat apabila satu pelabuhan baharu akan siap dibina dan bakal menjana banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.
Malah kehadiran Google iaitu syarikat gergasi teknologi antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan berkaitan internet, enjin carian, perisian dan kecerdasan buatan (AI) untuk pembangunan pusat data khusus di Port Dickson juga memberi lembaran baharu.
“Selain itu, daerah ini juga telah memiliki hospital di mana peningkatan kemajuan dapat dilihat rakyat tempatan dari masa ke semasa secara berfasa. Kita boleh tengok struktur bangunan yang semakin moden selain kewujudan gerai-gerai peniaga kecil yang tidak berselerak.
“Saya ingat kalau kita bagi lagi tempoh lima tahun, kita boleh tengok Port Dickson bakal muncul satu lokasi pelancongan yang akan diingati pengunjung sekaligus menarik lebih ramai pelancong ke sini.
“Mungkin kita kena ada jalan raya yang lebih lebar namun kita tahu benda ni semua dalam perancangan dan ketika ini ia dalam pembinaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan perancangan pembinaan pelabuhan baharu, Midport yang berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) di daerah ini.
Selain itu juga, Port Dickson turut menarik minat pelabur luar negara dengan kehadiran Google untuk melabur RM1 bilion bagi pembangunan pusat data.
Projek itu merupakan sebahagian daripadan komitmen pelaburan Google sebanyak RM9.4 bilion di Malaysia yang diumumkan tahun 2024 merangkumi pembangunan pusat data pertamanya dan wilayah Google.
Ditanya prestasi penyandang wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung di Parlimen Port Dickson itu, Parameswari berkata, Datuk Dr G. Rajasekaran telah melaksanakan perkhidmatan dengan baik walaupun baru berkhidmat dalam tempoh dua tahun setengah.
Kata beliau, selain memiliki sikap yang rendah diri, Rajasekaran mudah berurusan dan ditemui selain memberi sumbangan tanpa mengira rakyat daripada DUN mana.

“Beliau yang betul-betul faham kesusahan rakyat dan tidak memilih. Sesiapa sahaja yang datang memerlukan bantuan, dia terus beri sahaja. Tak kira, dia dari mana.
“Dari Sri Tanjung, Bagan Pinang, Linggi, dia tak kisah asalkan bantuan itu sampai kepada mereka tidak berkemampuan.
“Jadi, kita memerlukan seorang pemimpin macam beliau kerana berjiwa rakyat di mana Dr Rajasekaran harus kekal dan menang di DUN Sri Tanjung,” katanya.
Rajasekaran merupakan penyandang wakil rakyat di DUN Sri Tanjung selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-15 pada 2023 dengan majoriti 3,996 undi.
Pada 1 Ogos ini, dia akan berdepan saingan lima penjuru calon dari Barisan Nasional (BN), A. Achutan dan M. Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi PRN16.
Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon bebas. – MalaysiaGazette

















