SEREMBAN – Perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik tidak pernah menjadi halangan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak.
Beliau yang pernah memegang jawatan Pengelaras DUN Labu berkata, setiap individu yang menjadi pengundi di kawasannya berhak menerima khidmat dan bantuan tanpa mengira parti politik yang disokong.
“Bagi saya, saya tak kira dia parti mana. Saya tidak membezakan agama dan bangsa. Asalkan dia pengundi di situ, saya akan cuba bantu,” katanya dalam siri walkabout sempena PRN Negeri Sembilan di Kampung Gadong Jaya dan Batu 8 hari ini.
Menurutnya, sejak mula terlibat dalam khidmat masyarakat, beliau turut turun padang membantu penduduk tanpa mengira latar belakang politik, termasuk mengunjungi kediaman penyokong parti lawan.
“Saya pernah masuk ke rumah orang kuat Bersatu dan saya bagi bantuan. Pada mulanya mereka tidak senang tetapi saya terus masuk. Saya tidak ada masalah,” katanya.
Beliau berkata, antara bantuan yang disalurkan termasuk katil pesakit dan kerusi roda kepada penduduk Labu yang memerlukan khususnya pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital.
“Setakat ini kita sudah keluarkan hampir 330 katil. Kalau dibahagikan mengikut bulan, mungkin setiap tiga hari ada satu katil yang dikeluarkan. Kerusi roda pula saya sudah tidak terkira jumlahnya.
“Servis kita juga biasanya cepat. Ada yang dapat dalam tempoh tiga atau empat hari kerana kita perlu membuat tempahan, manakala kes yang memerlukan segera akan kita utamakan,” katanya.
Jelasnya, keutamaan diberikan kepada pesakit yang bakal keluar hospital dan memerlukan katil atau kerusi roda untuk digunakan di rumah berdasarkan keperluan yang dimaklumkan pihak hospital atau doktor.
Menurutnya, segala usaha itu dilakukan dengan penuh keikhlasan kerana khidmat kepada masyarakat sememangnya sudah sebati dalam dirinya, selain mahu membalas kembali nikmat yang dikurniakan Allah.
“Saya seorang profesional dan sudah menjadi pemaju sejak berusia 22 tahun tetapi saya perlukan platform untuk membantu orang kampung saya. Saya asal dari sini dan kawan-kawan saya semua di sini.
“Inilah salah satu cara saya membalas apa yang Allah sudah berikan kepada saya dengan menyumbangkannya kembali kepada masyarakat,” katanya.
Ditanya mengenai kempen yang direncanakan beliau, Ahmad Faez berkata, gerak kerja kempen secara rumah ke rumah akan terus dipergiatkan bagi memastikan lebih ramai penduduk di DUN Labu dapat ditemui dan disantuni.
Katanya, setakat ini, beliau menganggarkan sekitar 10 peratus penduduk di kawasan berkenaan sudah ditemui menerusi pendekatan tersebut.
“Untuk separuh pertama kempen ini, kita akan teruskan pendekatan rumah ke rumah. Kemudian, bagi separuh kedua, kita akan lihat semula bagaimana keadaan kempen.
“Kita akan menilai semula di mana terdapat kesilapan atau kelemahan sepanjang separuh pertama kempen dan cuba memperbaikinya pada separuh kedua.
“Mana-mana kawasan atau penduduk yang masih belum kita temui, kita akan cuba liputi dan lihat apa lagi yang boleh kita bantu,” katanya.
Ahmad Faez berkata, penerimaan penduduk setakat ini juga amat baik, malah kebanyakan mereka sudah mengenalinya kerana beliau telah lama berada dan berkhidmat di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan turun padang secara bersemuka itu penting bagi memastikan setiap isu dan keperluan penduduk dapat dikenal pasti secara langsung, selain mendekatkan calon dengan pengundi menjelang PRN Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















