Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berucap pada Ceramah Pakatan Harapan pada Jelajah Pakatan Harapan Selangor Parlimen Kota Raja di Jalan Kebun, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 MEI 2026.
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan UMNO supaya tidak cuba menulis semula sejarah pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan menggambarkan parti itu sebagai penentu tunggal kerajaan.

Ia susulan kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Perdana Menteri boleh memecat semua menteri Barisan Nasional (BN) jika mahu.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, kenyataan Presiden UMNO itu bukan mencerminkan semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya lahir daripada kesombongan politik.

“Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Perdana Menteri boleh memecat semua menteri BN jika mahu bukan lahir daripada semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan tetapi daripada kesombongan politik.

“Inilah wajah sebenar UMNO yang pernah dihukum rakyat pada PRU14. Apabila kembali merasakan diri kuat, nada angkuh mula mengambil tempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Danish, UMNO sememangnya mempunyai peranan dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, namun tidak wajar menggambarkan seolah-olah parti itu sahaja yang membentuk kerajaan tersebut.

“Hakikatnya, Kerajaan Perpaduan lahir daripada kesediaan pelbagai parti politik untuk mengetepikan perbezaan demi memastikan negara terus stabil dan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

“Jangan sesekali cuba menulis semula sejarah seolah-olah UMNO sahaja yang membentuk kerajaan ini,” tegasnya.

Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), UMNO berada pada saat paling lemah dalam sejarah politiknya, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memilih untuk menghancurkan parti itu atau mengambil kesempatan atas kelemahannya.

Sebaliknya, katanya, Anwar mempertahankan prinsip demokrasi dengan menghormati hak setiap parti politik untuk terus berfungsi dan memainkan peranan dalam sistem demokrasi negara.

“Hari ini, jangan pula ada yang bercakap seolah-olah merekalah penentu tunggal kelangsungan Kerajaan Perpaduan.

“Jika benar UMNO sudah tidak lagi selesa bersama Kerajaan Perpaduan, jangan bermain dengan politik ugutan atau kenyataan yang bersifat provokatif. Tunjukkan keberanian sebenar. Berundur secara terhormat dan keluar daripada kerajaan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, langkah itu jauh lebih bermaruah daripada terus mengeluarkan kenyataan yang hanya menguji kesabaran rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Danish, tiada mana-mana parti yang lebih besar daripada mandat rakyat kerana Kerajaan Perpaduan dibina atas asas saling menghormati, kepercayaan dan tanggungjawab bersama.

“Kerajaan Madani tidak berdiri atas ego mana-mana parti. Ia berdiri atas kepercayaan rakyat, semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama untuk memulihkan negara.

“Jangan kerana kembali merasakan diri kuat, UMNO mengulangi kesilapan yang pernah menyebabkan rakyat menolak mereka pada 2018. Sejarah sudah memberi pengajaran. Jangan sampai keangkuhan sekali lagi menjadi punca kejatuhan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pooodah..rakyat semua tahu PH tak boleh tubuh kerajaan sbb tak cukup kerusi..Dan rakyat semua tahu tanpa sokongan UMNO tak mungkin Nuar Berahim jd PM…Dan rakyat semua tahu, PH yg pergi jumpa minta bantuan UMNO bukan sebaliknya..jd jangan buat2 lupa laaa bodoh

Comments are closed.