KLUANG – Seorang lelaki warga emas mati lemas di Sungai Benut berhampiran Kampung Kolam Air di Simpang Renggam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sebelum itu, Lee Wan Leong, 43, dilaporkan hilang oleh anak saudaranya selepas menemukan selipar dan kereta mangsa di tepi sungai tersebut di pada pukul 2 petang.
“Melalui laporan itu, bapa saudaranya sebelum itu telah keluar dari rumahnya pada pukul 1.40 petang tanpa memaklumkan arah tujuannya
“Pengadu kemudiannya mendapatkan bantuan Pasukan Bomba dan Menyelamat Renggam dan hasil pencarian kemudiannya menemui mangsa berhampiran selipar dan kereta yang ditinggalkan di dasar sungai namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut dijalankan melalui bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian sebenar.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan I Abd Rahim berkata, seramai enam anggota dibantu dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Operasi menyelamat menggunakan grappling iron dari tebing. Mangsa berjaya ditemui sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis. Operasi selesai pukul 4.20 petang,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette
















