Dapatan Ilham Centre mendapati Aminuddin Harun didakwa tenggelam sebagai poster boy dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sembilan.

PORT DICKSON – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun menyangkal dakwaan kononnya wujud kem tertentu di dalam parti itu di Negeri Sembilan, susulan keputusan mencalonkannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

Tegas beliau, dakwaan kononnya pencalonan beliau di DUN Linggi adalah cubaan membenamkan karier politiknya serta kaitan beliau dengan kem bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli juga tidak berasas.

Menurutnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, seperti yang sering ditegaskan sebelum ini, beliau sendiri yang membuat keputusan berhijrah dari DUN Sikamat ke Linggi untuk memperluaskan kemenangan PH di negeri itu.

“Yang selalu sebut perkara ini (benam dan kem Rafizi) adalah `jiran’ sebelah sana (lawan politik).

“Tapi bagi saya yang penting ini keputusan politik saya, saya yang tawarkan diri, bukan arahan oleh mana-mana pimpinan.

“Apabila saya buat keputusan ini, saya yakin saya dapat bekerja di Linggi dan dapat diterima.

“Jadi isunya bukan kem mana-mana, sama ada kem A, kem B atau kem Rafizi.

“Tetapi bagi saya yang penting adalah pastikan bahawa Pakatan Harapan menang pada pilihan raya kali ini, insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Aminuddin ditanya berkenaan dakwaan kononnya keputusan pucuk pimpinan parti PKR meletakkan beliau bertanding di kerusi DUN Linggi sebagai cubaan untuk membenam karier politik beliau memandangkan kawasan itu diketahu merupakan kubu kuat UMNO dan BN.

Malah, terdapat juga dakwaan kononnya keputusan tersebut sebagai `hukuman’ memandangkan Aminuddin sebelum ini sering dikaitkan dengan ‘kem’ Rafizi.

Sementara itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menegaskan, beliau juga bukan boneka kepada mana-mana pihak termasuk DAP dalam membuat keputusan bertanding di DUN Linggi.

“Saya bukan boneka mana-mana pihak, saya buat keputusan ini (tanding DUN Linggi) kerana saya sayangkan parti dan saya sayangkan perjuangan ini. Jadi saya akan teruskan perjuangan ini, insya-Allah.

Sementara itu, Aminuddin berkata, sebagai `poster boy’ Menteri Besar PH pada PRN Negeri Sembilan kali ini juga, beliau mempunyai tanggungjawab dan tugas besar untuk memastikan kemenangan di DUN Linggi.

“Kerana itu saya harus bekerja bukan lagi 100 peratus, tetapi perlu bekerja 200 peratus bagi memenangi PRN kali ini bersama kumpulan saya.

“Saya juga melihat kesemua calon Pakatan Harapan kali ini dengan pengalaman dan kebolehan mereka, mampu melaksanakan amanah ini dengan baik, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast