Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran di sebuah kilang dalam Kawasan Perindustrian Sawit Baharu, Kulai hari ini

KULAI – Dua pekerja lelaki warga asing melecur manakala empat lagi termasuk dua wanita cedera dalam kebakaran di sebuah kilang dalam Kawasan Perindustrian Sawit Baru, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di kilang memproses anodizing itu pukul 1.59 petang.

Susulan itu katanya, seramai 13 anggota dibantu dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi pukul 2.11 petang dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang jenis kekal yang menjalankan proses anodizing atau salutan logam dan aluminium melalui proses elektrolisis.

Kebakaran menyebabkan dua pekerja lelaki warga asing melecur manakala empat yang lain cedera

“Kebakaran membabitkan dua mesin polishing dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus bagi setiap mesin.

“Kesan kebakaran turut menyebabkan letupan pada mesin berkenaan selain mengakibatkan kira-kira 50 peratus struktur bangunan kilang runtuh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan pemadaman awal dilakukan oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) kilang terdiri daripada empat anggota menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran.

Ujarnya, anggota dari BBP Kulai dan BBP Bandar Baru Kulai itu kemudian meneruskan operasi pemadaman yang berakhir pukul 3.09 petang.

Anggota bomba melakukan pemeriksaan selepas melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran di sebuah kilang dalam Kawasan Perindustrian Sawit Baharu, Kulai hari ini

“Kebakaran menyebabkan dua pekerja asing lelaki masing-masing berusi 30-an melecur hampir 50 peratus dan 10 peratus.

“Empat lagi mangsa membabitkan dua pekerja lelaki tempatan berusia 20an dan 40an serta dua pekerja wanita berusia 20an termasuk salah seorang daripada pekerja asing turut dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, seorang daripada mangsa dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba manakala lima lagi diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast