Gambar hiasan.

NEW YORK – Harga minyak dunia melonjak pada Rabu dengan penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent Laut Utara melepasi paras AS$95 setong buat kali pertama dalam tempoh hampir enam minggu susulan Amerika Syarikat (AS) dan Iran melancarkan lagi siri serangan.

Kontrak niaga hadapan minyak mentah kemudiannya mengurangkan sebahagian kenaikan, namun masih ditutup meningkat sekitar tiga peratus.

“Tindakan ketenteraan kini kembali memuncak pada tahap yang luar biasa. Retorik yang digunakan juga adalah yang paling tegang sejak permulaan perang,” ” kata John Kilduff dari Again Capital.

Presiden AS, Donald Trump, mengancam akan memusnahkan sebuah jambatan atau loji janakuasa Iran bagi setiap serangan terhadap kapal-kapal di Selat Hormuz.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pula berkata, Tehran akan bertindak balas dengan cara yang sama terhadap sebarang serangan ke atas infrastruktur negara itu.

Menerusi hantaran di platform X, beliau menegaskan bahawa “doktrin pertahanan kami jelas: mata dibalas dengan mata.”

Sementara itu, data maritim yang dianalisis AFP menunjukkan sekurang-kurangnya sembilan kapal berpatah balik daripada menyeberangi Selat Bab al-Mandab di bahagian selatan Laut Merah selepas pemberontak Houthi mengumumkan sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Arab Saudi.

Menurut firma data maritim Kpler, tiga daripada kapal berkenaan sebelum itu memuatkan minyak di terminal Yanbu di Laut Merah milik Arab Saudi, yang merupakan laluan penting bagi Riyadh untuk mengelakkan Selat Hormuz.

Bagaimanapun, pasaran saham AS hanya memberi reaksi sederhana terhadap lonjakan harga minyak itu, apabila indeks S&P 500 susut hanya 0.1 peratus.

Naib Presiden Kanan CFRA Research, Arun Sundaram berkata, pasaran kini berdepan pelbagai kebimbangan dalam senarai cabaran yang semakin bertambah, termasuk ancaman baharu tarif oleh Trump, peningkatan mendadak hasil bon AS serta kebimbangan terhadap daya saing kecerdasan buatan (AI) China.

“Pasaran enggan mengalah, ibarat seorang peninju yang terus menerima tumbukan demi tumbukan tetapi masih enggan tumbang,” katanya.

Ketika pelabur terus memantau perkembangan konflik di Timur Tengah, perhatian turut tertumpu kepada sektor teknologi yang menjadi fokus utama pasaran sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Pergeseran pelaburan keluar daripada saham teknologi telah membantu pasaran Eropah mencatat prestasi lebih baik secara keseluruhan, walaupun harga minyak terus kukuh,” kata Ketua Penganalisis Pasaran IG, Chris Beauchamp.

Saham teknologi yang kembali pulih di Wall Street pada Selasa berdepan tekanan pada Rabu, dengan indeks Nasdaq Composite yang sarat dengan saham teknologi ditutup susut 0.6 peratus.

Syarikat yang giat melabur dalam AI seperti Amazon, Meta dan Microsoft turut merekodkan penurunan ketara.

Pengarah Pelaburan AJ Bell, Russ Mould berkata, penyusutan saham syarikat pengeluar cip selepas lonjakan besar awal tahun ini menyebabkan pelabur menantikan perkembangan terkini mengenai permintaan berkaitan AI serta sama ada pelaburan besar dalam infrastruktur teknologi benar-benar memberikan pulangan.

“Alphabet, syarikat induk Google, akan mengumumkan keputusan kewangannya malam ini, diikuti Intel esok, manakala Microsoft, Meta dan beberapa syarikat lain dijangka berbuat demikian minggu depan,” katanya.

Sementara itu, pasaran saham utama Asia ditutup bercampur-campur pada Rabu apabila pelabur menantikan laporan pendapatan syarikat-syarikat gergasi teknologi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast