Gambar hiasan.

 

KUALA LUMPUR – Amalan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam perlu beralih daripada berasaskan tempoh perkhidmatan kepada penilaian kompetensi bagi memastikan penjawat awam yang berprestasi tinggi diberi pengiktirafan sewajarnya.

Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Potensi) UniMAP), Raja Shah Erman Raja Ariffin berkata, amalan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan atau kaedah time-based seperti 8-6-4 juga dilihat tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa kerana berpotensi mengabaikan penjawat awam yang lebih kompeten.

Katanya, isu kelewatan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam bukanlah perkara baharu kerana ia telah lama menjadi perdebatan termasuk sebelum pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), khususnya melibatkan skim pentadbiran dan ikhtisas.

Menurut beliau, walaupun dasar perkhidmatan awam sebenarnya telah memperkenalkan elemen kompetensi sebagai asas memperkukuh pembangunan bakat dan laluan kerjaya, namun pelaksanaannya perlu diperkasakan dengan penilaian berdasarkan indikator tingkah laku, kemahiran dan prestasi.

“Dalam sesetengah organisasi masih wujud budaya mendahulukan pegawai yang lebih senior atas alasan hampir bersara, sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat kepada pegawai yang lebih kompeten walaupun telah menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette

Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneliti semula proses kenaikan pangkat penjawat awam, khususnya bagi kategori yang mengambil masa terlalu lama bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terus diperkasa dan dipelihara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibangkitkan selepas beliau menerima maklum balas menerusi sesi libat urus bersama penjawat awam yang memaklumkan terdapat proses kenaikan pangkat yang terlalu lama.

Katanya, walaupun pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam sudah dilaksanakan, masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan penambahbaikan.

Lantaran itu, Raja Shah Erman menegaskan budaya lama yang menjadikan tempoh perkhidmatan sebagai penentu utama kenaikan pangkat perlu ditinggalkan bagi memberi ruang kepada pembangunan bakat dalam perkhidmatan awam.

“Penjawat awam yang telah membuktikan kompetensi, memiliki prestasi cemerlang serta diiktiraf sebagai pakar rujuk di dalam dan luar organisasi sewajarnya diberi tanggungjawab yang lebih besar melalui kenaikan pangkat pada masa yang sesuai.

“Sistem kenaikan pangkat berasaskan kompetensi bukan sahaja mampu meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja, malah menggalakkan penjawat awam terus meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta keupayaan bagi menghadapi tanggungjawab yang lebih mencabar,” ujar beliau.

Pendekatan itu juga, katanya, diyakini dapat melahirkan perkhidmatan awam yang lebih berprestasi tinggi, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast