SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) mengakui gabungan itu sedang berdepan cabaran organisasi dan penyelarasan kempen susulan penyertaan parti-parti komponen baharu serta kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat akar umbi.
Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, keadaan itu menyebabkan PN mengambil pendekatan baharu dengan menubuhkan Pusat Media, Penerangan dan Komunikasi bagi menyelaras naratif, komunikasi serta operasi kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, struktur PN kini jauh lebih kompleks berbanding sebelum ini kerana gabungan tersebut bukan lagi digerakkan oleh satu parti semata-mata.
“Kita melalui satu suasana yang baharu. Kita ada parti-parti komponen baharu yang masih dalam proses integrasi dan pada masa sama perlu menguruskan kerjasama dengan BN yang juga merupakan satu pengalaman baharu di peringkat akar umbi.
“Banyak tempat masih ‘disconnected’ dan ada hiccup di sana sini. Sebab itu kita putuskan untuk mewujudkan satu organisasi yang menyelaras semuanya di bawah satu bumbung,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Media, Penerangan dan Komunikasi PN di Ampangan, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Annuar berkata, antara fungsi utama pusat itu ialah membentuk naratif kempen yang seragam bagi mengelakkan setiap parti membawa mesej berbeza sehingga menimbulkan kekeliruan kepada pengundi.
Jelasnya, keperluan itu menjadi lebih penting apabila berlaku perkembangan politik atau kenyataan yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong.
“Kita bukan sahaja mahu menyelesaikan masalah, tetapi merangka dan membentuk naratif supaya kempen lebih tersusun dan media juga lebih mudah memahami mesej yang ingin disampaikan,” katanya.
Menurut Annuar, langkah itu diambil selepas menerima maklum balas daripada pengamal media yang mahukan penyelarasan maklumat, termasuk jadual calon dan lokasi program bagi memudahkan tugasan liputan.
“Kita mahu mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif antara jentera kempen dan rakan-rakan media kerana kita faham peranan mereka sangat penting,” katanya.
Katanya lagi, beliau menggesa semua parti komponen PN menghantar wakil ke pusat berkenaan bagi memperkukuhkan koordinasi dan mempelajari kaedah pengurusan pilihan raya.
“Pilihan raya bukan sesuatu yang boleh dipelajari melalui buku teks. Ia perlu dilalui sendiri dan kita mesti terus menyesuaikan diri dengan dinamik politik semasa yang berubah begitu pantas,” katanya.
Sementara itu, Annuar memberi amaran PN tidak boleh membiarkan setiap parti komponen membawa naratif sendiri kerana ia boleh mengelirukan pengundi.
Tegasnya, gabungan yang semakin besar memerlukan mesej yang seragam agar semua pemimpin, calon dan jentera bercakap menggunakan “bahasa politik” yang sama.
“Kalau tidak, enam parti akan berhadapan dengan enam kaedah berkempen yang berbeza.
“Kemudian kita perlu pula berinteraksi dengan rakan kerjasama daripada BN. Jadi semuanya mesti diselaraskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















