Calon BN N.17 Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil bercakap kepada media ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2026.

KUALA PILAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil bertekad menjadikan pembangunan ekonomi dan penambahbaikan infrastruktur sebagai keutamaan bagi memastikan lebih ramai anak muda memilih untuk terus membina kehidupan di kawasan itu.

Menurutnya, antara cabaran terbesar dihadapi Senaling ketika ini ialah penghijrahan golongan belia ke bandar akibat kekurangan peluang pekerjaan, menyebabkan ramai penduduk terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki.

Katanya, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau mahu memanfaatkan potensi sedia ada termasuk tanah-tanah terbiar untuk menjana aktiviti ekonomi baharu yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Apabila kita bercakap tentang Senaling, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana kita mahu anak-anak muda terus kekal di sini.

“Ramai yang berhijrah kerana peluang pekerjaan terhad. Jadi kita perlu mencari jalan supaya ekonomi di Senaling dapat diperkasakan dan lebih banyak peluang diwujudkan untuk mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette berkempen di kawasan sekitar di sini.

Mohamad Qayyum berkata, antara pendekatan yang ingin diberi perhatian ialah mengenal pasti tanah-tanah yang berpotensi tetapi masih belum dimanfaatkan bagi dibangunkan sebagai sumber ekonomi baharu.

Beliau berkata, sektor pertanian mempunyai ruang yang besar untuk diperkasakan kerana bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan penduduk, malah boleh menarik minat generasi muda sekiranya diusahakan secara lebih moden dan berdaya saing.

“Kita mempunyai tanah yang berpotensi untuk dibangunkan. Kalau diuruskan dengan baik, ia boleh menjadi sumber pendapatan kepada masyarakat dan membuka lebih banyak peluang kepada anak muda.

“Pertanian juga tidak seharusnya dilihat sebagai sektor tradisional semata-mata. Dengan pendekatan yang betul, ia mampu menjadi industri yang menjana pendapatan lebih baik kepada penduduk,” ujarnya.

Menurut beliau, usaha membangunkan ekonomi tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa penambahbaikan infrastruktur yang dapat menyokong pertumbuhan kawasan luar bandar.

Katanya, kemudahan asas yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk, malah mampu menjadikan Senaling lebih menarik untuk didiami oleh golongan muda dan keluarga mereka.

“Kita perlu bergerak seiring. Ekonomi perlu berkembang, tetapi pada masa sama infrastruktur juga perlu dipertingkatkan supaya Senaling benar-benar menjadi kawasan yang mempunyai masa depan.

“Apabila kedua-dua aspek ini diperkukuhkan, saya yakin lebih ramai anak muda akan memilih untuk terus tinggal dan membangunkan kampung halaman mereka,” katanya.

Mohamad Qayyum berkata, Senaling juga mempunyai jumlah pengundi luar yang agak besar dan keadaan itu perlu dilihat sebagai isyarat bahawa lebih banyak usaha diperlukan untuk menarik mereka kembali menetap di kawasan berkenaan.

“Saya bukan sahaja mahu melihat mereka pulang mengundi, tetapi pulang kerana yakin Senaling mempunyai peluang pekerjaan, kemudahan yang baik dan masa depan yang lebih cerah,” katanya lagi.

Selain pembangunan belia, beliau berkata, kebajikan golongan warga emas turut akan terus diberi perhatian memandangkan ramai penduduk di Senaling terdiri daripada pesara yang telah lama menetap di kawasan itu.

“Kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada satu kelompok sahaja. Pembangunan perlu dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk warga emas yang memerlukan kemudahan dan infrastruktur yang lebih selesa,” katanya.

Mengulas perkembangan kempen, Mohamad Qayyum berkata, sambutan yang diterima sepanjang kempen memasuki hari keempat amat menggalakkan dengan sokongan daripada golongan muda, dewasa dan warga emas terus menyuntik semangat kepada jentera BN.

Beliau berkata, pengalaman memimpin pelbagai organisasi belia di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, selain pernah berkhidmat dalam sektor swasta serta pentadbiran kerajaan, banyak membentuk kefahamannya terhadap isu pembangunan masyarakat dan keperluan generasi muda.

“Pengalaman itu mengajar saya pembangunan bukan hanya soal projek semata-mata, tetapi bagaimana kita mewujudkan peluang, meningkatkan ekonomi dan memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaatnya.

“Itulah yang saya mahu bawa untuk Senaling sekiranya diberikan kepercayaan oleh rakyat pada 1 Ogos nanti,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast