JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat di bandar raya ini kerugian RM356,368 selepas menjadi mangsa penipuan e-dagang.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kes penipuan e-dagang itu daripada mangsa iaitu seorang wanita berusia 27 tahun semalam.
“Mangsa merupakan seorang penyelia syarikat mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengaku sebagai wakil sebuah agensi berkaitan industri binaan.
“Suspek didakwa menawarkan peluang kepada syarikat berkenaan untuk menjadi pembekal barangan. Ini termasuk membekalkan 50 unit ‘power supply’ dan 40 unit panel solar bagi sebuah projek di Sarawak serta menjanjikan pulangan lumayan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selepas mendapat kelulusan pihak pengurusan syarikat, pengadu melengkapkan borang pendaftaran yang dihantar menerusi aplikasi Whatsapp sebelum mengembalikannya kepada individu berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
“Bagi memenuhi pesanan pembekalan terbabit, pihak syarikat membuat lapan transaksi pembayaran ke dua akaun bank yang diberikan oleh suspek mulai tempoh antara 12 Jun hingga 7 Julai lalu.
Menurutnya, jumlah keseluruhan transaksi pembayaran menggunakan wang syarikat adalah RM356,368.
Bagaimanapun katanya, selepas pembayaran dilakukan, pihak syarikat tidak menerima sebarang barangan yang dijanjikan.
Suspek katanya, turut memberikan pelbagai alasan serta menangguh urusan pembekalan sehingga menyebabkan pihak syarikat mengesyaki menjadi mangsa penipuan.
“Siasatan awal dijalankan termasuk membuat semakan terhadap akaun bank yang terbabit, mendapatkan pengesahan transaksi daripada pihak bank serta mengesan dan menahan suspek terbabit,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan, katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dan sentiasa berwaspada terhadap tawaran perniagaan atau peluang pembekalan daripada pihak tidak dikenali yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat.
Jelasnya, sebarang urusan membabitkan pembayaran wang dalam jumlah besar perlu dibuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai boleh melakukan semakan menerusi portal semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.- MalaysiaGazette
















