KUANTAN – Seorang wanita dan dua remaja perempuan bawah umur dihadapkan ke Mahkamah khas Trafik, di sini hari ini di atas kesalahan menunggang motosikal secara berbahaya pada 16 Julai lepas.
Tertuduh, Nur Liana Atirah Roslan, 21 membuat pengakuan bersalah manakala dua lagi remaja berusia 18 tahun dan 19 tahun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa menunggang motosikal dengan aksi berbahaya dengan melakukan dua aksi ‘superman’ dari arah Terminal Sentral Kuantan (TSK) menuju ke arah Bukit Rangin, Jalan Kuantan Bypass.
Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta boleh hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Noraini Mohd Nor.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh dikenakan wang jaminan antara RM2,000 sehingga RM3,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 26 Ogos depan untuk lantikan peguam dan sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















