PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Datuk Yew Boon Lye menegaskan masih banyak agenda pembangunan dan khidmat kepada rakyat yang mahu dilaksanakan beliau di kawasan tersebut.
Menurutnya, tempoh lebih tiga tahun menyandang kerusi itu sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 disifatkan terlalu singkat menyebabkan agenda dan pelan yang dirancang sebelum ini terbantut.
Sehubungan itu, beliau merayu pengundi di DUN Chuah sekali lagi memberikan mandat kepadanya pada 1 Ogos ini, supaya segala bentuk pembangunan yang disusun untuk manfaat rakyat di kawasan itu dapat disempurnakan.

“Saya rasa walaupun saya telah selesaikan beberapa perkara dan isu utama di kawasan saya sebelum ini, tetapi banyak lagi rancangan lain sebenarnya yang masih separuh jalan.
“Antaranya adalah saya mahu memastikan projek jambatan yang menyambungkan Sungai Pelek ke Bukit Pelandok dapat dilaksanakan.
“Projek itu kini sedang di peringkat tender dan saya harap penduduk dapat memberikan kepercayaan kepada saya khususnya dan kerajaan PH di Negeri Sembilan supaya kerja-kerja bagi projek itu dapat dimulakan tahun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu, Boon Lye berkata, beliau juga berharap dapat meneruskan kelangsungan usaha untuk merubah landskap DUN Chuah sebagai kawasan luar bandar kepada separa bandar, seterusnya menjadi bandar moden seperti kawasan-kawasan berdekatan.
Menurutnya, ke arah itu, beliau telah merancang pelbagai kegiatan ekonomi yang boleh melonjakkan kawasan tersebut antaranya menerusi rancangan Malaysia Vision Valey (MVV) 2.0.
“Baru-baru ini juga menerusi projek dengan kerjasama EcoWorld, kita telah melancarkan projek taman perindustrian iaitu Eco Business Park 7 seluas 1.155 ekar.
“Sudah semestinya projek ini kelak akan membawa masuk lebih banyak pelaburan tempatan dan asing, sekali gus dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















