Logo Parti DAP

KUALA LUMPUR – DAP didakwa berada di persimpangan politik susulan keputusan parti itu untuk menentukan kedudukan pemimpinnya dalam kerajaan pada Kongres Kebangsaan 16 Ogos ini.

Menurut Pengerusi Urimai, P. Ramasamy, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa keputusan mengenai kedudukan pemimpin parti dalam kerajaan akan dibuat pada kongres tersebut menunjukkan isu sebenar bukan lagi berkaitan kemungkinan DAP keluar daripada kerajaan, sebaliknya sama ada barisan kepimpinan parti akan terus memegang jawatan dalam pentadbiran.

Beliau berkata, perkara itu bercanggah dengan kenyataan sebelum ini yang membayangkan kemungkinan tindakan lebih besar oleh DAP berhubung kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.

“Walau bagaimanapun, bertentangan dengan kenyataan DAP sebelum ini, parti itu tidak akan keluar daripada kerajaan. Persoalan kini hanya berkisar sama ada para pemimpinnya akan terus memegang jawatan dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata, DAP berdepan cabaran besar selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, selain kehilangan beberapa kerusi dalam PRN Johor, baru-baru ini.

Manakala, MCA dan MIC, walaupun masih berada dalam keadaan lemah di persada politik negara, menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada DAP atau PH dalam pilihan raya negeri Johor yang lalu.

Manakala, prestasi DAP dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos akan menjadi ukuran sama ada parti itu mampu menghentikan kemerosotan sokongan politiknya.

Beliau mendakwa populariti DAP semakin merosot sejak dua dekad lalu selepas parti itu memasuki arus pemerintahan dan mula menikmati kuasa, jawatan serta keistimewaan.

“Kemasukan ke tampuk kuasa merupakan sebab utama kemerosotan politik DAP. Setelah selesa dengan kuasa, jawatan dan pelbagai keistimewaan, DAP kini mula menyerupai MCA, MIC dan Gerakan,” katanya.

Ramasamy turut mendakwa DAP yang mempunyai asas sokongan utama dalam kalangan masyarakat Cina dilihat secara meluas sebagai sebuah parti berasaskan kaum, meskipun parti itu mempunyai pemimpin daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, dominasi pemimpin berketurunan Cina dalam jawatan utama parti turut mengukuhkan persepsi berkenaan.

Beliau berkata, DAP juga berdepan kesukaran untuk membina kerjasama dengan gabungan politik berasaskan Melayu pada masa hadapan kerana parti itu sering dikaitkan dengan pelbagai isu oleh pihak lawan.

“DAP tidak mempunyai pilihan selain terus kekal bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua keadaan. Prospeknya untuk menjalin kerjasama politik dengan gabungan-gabungan politik berasaskan Melayu amat tipis kerana gabungan tersebut telah mengenal pasti DAP sebagai pihak yang paling dipersalahkan,” katanya.

Ramasamy berkata, landskap politik Malaysia yang semakin dipengaruhi sentimen kaum dan agama menyebabkan ruang gerak politik DAP semakin terbatas.

Katanya, walaupun Anthony mungkin mempunyai perancangan untuk masa depan parti, hala tuju tersebut perlu mengambil kira batasan sistem politik negara yang semakin dipengaruhi faktor etnik dan agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast