NEW YORK – Harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$100 setong pada Khamis selepas pemberontak Houthi yang disokong Iran menyerang laluan perkapalan di Laut Merah.
Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus mengancam untuk melancarkan serangan balas, sekali gus mencetuskan kejatuhan pasaran saham global.
Penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent Laut Utara, melonjak tujuh peratus melepasi paras simbolik AS$100 setong apabila serangan itu berpotensi membuka satu lagi medan konflik di Asia Barat, lebih-lebih lagi apabila Trump mengancam Houthi dengan “hukuman ketenteraan besar-besaran”.
Pada masa sama, Iran berikrar akan terus melancarkan serangan di rantau Teluk selagi negara itu menjadi sasaran serangan tentera AS.
Serangan di Laut Merah turut meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak ketika penghantaran melalui Selat Hormuz masih terjejas teruk.
Arab Saudi sebelum ini menggunakan laluan Laut Merah untuk mengeksport jutaan tong minyak yang lazimnya melalui Selat Hormuz.
Bagaimanapun, penutupan laluan perkapalan itu dijangka mengurangkan lagi bekalan minyak di pasaran global.
Menurut Presiden Lipow Oil Associates, Andy Lipow, sekiranya Arab Saudi gagal mengalihkan tambahan eksport minyak mentah yang sebelum ini dialihkan dari Teluk Parsi, gangguan bekalan global akan menjadi lebih serius ketika stok komersial dunia terus menyusut.
Sehingga jam 2030 GMT, harga minyak mentah Brent meningkat tujuh peratus kepada AS$100.69 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 6.2 peratus kepada AS$92.19 setong. – Agensi
















