RANTAU – Barangkali kerana kebiasaannya sebagai seorang doktor perubatan, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. Azizul Hakim Mahdi terbawa-bawa profesionalisme itu ketika berkempen bertemu pengundi.
Setiap kali bersua penduduk setempat khususnya warga emas tidak kira di mana sekali pun, soalan pertama yang diajukan beliau selepas memberi salam adalah: “Hari ini sudah makan ubat?”.
Ia kemudian diikuti dengan soalan-soalan lazim seorang doktor perubatan termasuk sama ada menghadapi masalah tekanan darah tinggi, jantung dan sebagainya.

Malah, Dr. Azizul Hakim turut berkongsi nasihat kesihatan secara percuma kepada penduduk selain menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan di klinik yang diusahkannya.
Pendekatan doktor muda berusia 35 tahun itu ternyata berjaya menyentuh hati pengundi yang menyambutnya dengan mesra sepanjang beliau turun padang berkempen mendekati penduduk pelbagai kaum di DUN Rantau.
Sementara itu, Dr. Azizul Hakim berkata, rumah demi rumah yang dikunjunginya ketika berkempen bukan sekadar untuk memperkenalkan diri, tetapi juga bagi mendengar sendiri denyut nadi masyarakat.
“Dari sebuah rumah ke sebuah rumah, saya melihat sendiri pelbagai kisah kehidupan.
“Ada yang berkongsi kegembiraan, ada yang meluahkan keresahan, dan tidak kurang juga yang sekadar mengharapkan seorang wakil rakyat yang sentiasa hadir apabila diperlukan.
“Sebagai seorang doktor, saya percaya mendengar dengan penuh empati adalah langkah pertama sebelum mencari penyelesaian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan perubahan yang sebenar bermula dengan kesediaan untuk turun padang, mendengar tanpa mengira latar belakang, dan memahami setiap suara rakyat.
“Terima kasih kepada seluruh warga Kampung Linsum yang menerima kehadiran saya dengan penuh kemesraan dan layanan yang cukup baik.
“Semoga setiap langkah ini menjadi ikhtiar untuk membina Rantau yang lebih maju, inklusif dan sejahtera untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette
















