Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, ketika hadir pada majlis sarapan pagi dan beramah mesra bersama penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Gadong Jaya, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHAIMIN MARWAN.

SEREMBAN – Isu hakisan sungai dan masalah infrastruktur akan menjadi antara keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Beliau berkata, masalah berkenaan bukan perkara baharu di Labu dan memerlukan tindakan berterusan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk di kawasan terjejas terbela.

Menurutnya, beliau sendiri sudah turun ke lokasi yang berdepan masalah hakisan selain mengemukakan permohonan kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya memang pernah pergi ke tempat kejadian dan sudah mohon kepada agensi berkenaan, JPS. Cuma ada sedikit masalah dari segi kelewatan pihak agensi tetapi kita terus kejar dan kejar.

“Setakat ini, saya rasa itu antara yang akan menjadi keutamaan kepada saya untuk kita selesaikan masalah infrastruktur dan masalah hakisan tebing tanah, terutamanya di Labu yang memang banyak masalah seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Kampung Pulau, Labu, hari ini.

Ahmad Faez berkata, usaha menangani masalah hakisan sungai di kawasan berkenaan sudah menunjukkan perkembangan apabila kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada masalah itu telah diselesaikan.

“Bukan sahaja hakisan sungai itu. Kita di Labu ini banyak masalah hakisan sungai tadi. Tetapi Alhamdulillah, saya rasa 20 hingga 30 peratus daripada masalah itu sudah diselesaikan.

“Insya-Allah saya rasa kita dapat buat yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keselarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sekiranya PH terus diberi kepercayaan mentadbir negeri akan menjadi kelebihan dalam usaha mempercepatkan penyelesaian isu rakyat.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua kerajaan penting bagi memastikan masalah yang memerlukan tindakan dan peruntukan agensi berkaitan dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Sebab kalau kerajaan negeri dapat dibentuk, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah sehaluan. Itu yang terbaik sebenarnya untuk rakyat,” katanya.

Penduduk, Mohd Nasir Md Said, 60 menunjukkan aliran air sungai yang deras pada waktu hujan menyebabkan tembok yang dibina sendiri di belakang rumahnya runtuh akibat hakisan tanah tebing ketika di Kampung Tebing Tinggi, Batu 9, Labu. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2026.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan penduduk di Batu 8 dan Batu 9 di sini bimbang hakisan tebing sungai yang semakin serius bukan sahaja menyebabkan kerosakan rumah dan tembok malah mengancam keselamatan keluarga sekiranya tidak ditangani segera.

Lebih membimbangkan, masalah yang dikatakan berlaku sejak bertahun-tahun itu semakin ketara setiap kali hujan lebat apabila aliran air sungai menjadi deras menyebabkan tanah tebing runtuh dan hakisan merebak menghampiri kediaman penduduk. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hakisan tebing sungai ancam rumah penduduk Batu 8 dan 9 Labu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast