Saifuddin Shafi Muhammad

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menyelar dakwaan kempen berbaur perkauman yang didakwa menjadi mainan Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Malah menyifatkan kenyataan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai calon Menteri Besar sebagai mengelirukan dan menghina rakyat negeri itu, kata Ketua Sekretariat Jabatan Pilihan Raya PH, Saifuddin Shafi Muhammad.

Menurutnya, kenyataan Asyraf yang mempersoalkan sama ada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke akan menjadi Menteri Besar sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun tewas jelas bercanggah dengan Perkara 36 Akta Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Menurutnya, peruntukan itu menetapkan Menteri Besar Negeri Sembilan mestilah seorang Melayu dan beragama Islam.

“HARAPAN ingin menyentuh tentang kenyataan dangkal Dr. Asyraf Wajdi dalam satu kempen yang menyebut ‘Jika Tok Min (Aminudin Harun) kalah, siapa jadi MB calon PH? Anthony Loke ke? Nak ke orang Negeri Sembilan Anthony Loke jadi MB?’ seperti yang diterbitkan oleh portal Malaysia Gazzete.

“Justeru, kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah dilihat menghina kebijaksanaan pengundi Negeri Sembilan serta seolah-olah mendahului kuasa Yang di-Pertuan Besar dalam pelantikan Menteri Besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sekiranya kenyataan itu didapati mempunyai unsur mengembangkan permusuhan atau kebencian antara kaum bagi mempengaruhi pengundi, ia boleh disiasat mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Saifuddin berkata, PH tidak pernah menolak usaha memperkasakan agenda Melayu dan Islam namun ia perlu dilakukan secara jujur, berlandaskan fakta serta tidak menjadikan kaum lain sebagai sasaran politik.

“Dalam banyak keadaan, pihak yang sering memainkan sentimen perkauman inilah yang sebenarnya gagal berlaku jujur dalam membela nasib orang Melayu dan Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua parti yang bertanding supaya kembali menawarkan dasar serta penyelesaian kepada isu rakyat seperti ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kestabilan politik bukan terus memainkan sentimen perkauman yang disifatkan hanya memecahbelahkan masyarakat.

Beliau menegaskan, kempen pilihan raya seharusnya menjadi medan menawarkan idea dan polisi, bukannya menyemarakkan kebencian yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast