Woo Kah Leong

SEREMBAN – Rakyat Negeri Sembilan diseru menolak Perikatan-Barisan Nasional (PBN) yang didakwa mempertikaikan ketaatan rakyat Malaysia kepada tanah air.

Ketua Angkatan Muda Harapan, Woo Kah Leong berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berbunyi “Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu” disifatkan berbaur perkauman dan hasutan.

Menurut beliau, semua warganegara Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang memiliki kad pengenalan biru yang sama serta berkongsi tanah air yang satu, iaitu Malaysia.

“Sememangnya setiap orang mungkin berketurunan lain, namun tidak sepatutnya dikaitkan dengan negara lain.

“Warganegara Malaysia berbangsa Cina mungkin mampu bertutur bahasa Cina seperti penduduk China. Warganegara Malaysia berbangsa India mungkin pandai bercakap dalam bahasa Tamil seperti penduduk India.

“Namun, ini tidak berkait langsung dengan negara China dan India. Tanah air kita adalah Malaysia, bukannya negara lain seperti yang dituduh puak PBN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kah Leong turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengekang kenyataan sedemikian serta menjalankan penguatkuasaan dan tindakan undang-undang terhadap pemimpin yang didakwa berupaya memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Dalam pada itu, beliau mendakwa parti komponen BN termasuk UMNO, MCA dan MIC yang masih berdiam diri berhubung isu berkenaan sebagai bersekongkol dengan PN.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat berbilang kaum di Negeri Sembilan menolak gabungan berkenaan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.

Sanusi malam tadi dilaporkan berkata “Tanah Melayu” merupakan satu-satunya tempat tinggal orang Melayu, tidak seperti kaum lain.

“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja,” katanya di Jempol.

Sanusi turut meluahkan kebimbangan terhadap sektor ekonomi yang menurutnya masih menyaksikan pegangan orang Melayu terhenti pada kadar 18 peratus sahaja selepas 50 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast