SEREMBAN – Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan menyifatkan kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai bukti wajah sebenar politik toksik yang dibawa Pas.
Beliau berkata, Malaysia adalah satu-satunya tanah air bagi seluruh rakyat tanpa mengira kaum manakala Perlembagaan Persekutuan menjamin hak serta kepentingan semua warganegara.
“Rakyat Malaysia hanya ada Malaysia, tanah tumpah negara kita, ibu pertiwi kita. Walau apapun warna kulit, bangsa atau kaum, Perlembagaan Persekutuan menjamin hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia,” tulisnya dalam laman sosial hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Sanusi ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan yang mendakwa masyarakat Cina mempunyai China, masyarakat India mempunyai India, manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.
Menurut Syahredzan, politik yang memainkan sentimen perkauman dan memecah-belahkan rakyat tidak mempunyai tempat di negara ini.
“Politik seperti ini mesti ditolak. Inilah wajah sebenar Pas. Bawa politik toksik, politik perpecahan, politik kaum yang melampau,” ujarnya.
Kenyataan Sanusi itu sebelum ini turut mengundang kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik kerajaan dan pembangkang yang menyifatkan ia berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk serta bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette
















