Lim Guan Eng hadir bagi perbicaraan kes projek jalan dan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 Jun 2026 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalami kerugian selepas memberikan satu lot tanah kepada syarikat pemaju sebagai pembayaran bagi kajian kebolehlaksanaan projek tiga jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, 34, berkata, pembayaran itu bagi menjelaskan tuntutan RM135 juta yang dibuat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG).

Beliau yang juga pengawai penyiasat kes menolak cadangan peguam Mohd Haijan Omar mewakili Lim Guan Eng bahawa kerajaan negeri tidak mengalami kerugian selepas memindahkan Lot 702 kepada syarikat berkenaan.

Peguam: Berapa banyak jumlah tuntutan akhir yang dibawa CZBUCG bagi menuntut bayaran secara ‘land swap’ bagi lot 702?

Saksi: Untuk kali terakhir adalah RM138,971,572.61.

Saksi pendakwaan ke-38 itu bersetuju dengan Mohd Haijan bahawa jumlah tuntutan yang dibuat CZBUCG adalah RM138 juta, namun nilai lot tanah 702 hanya RM135 juta.

Beliau bersetuju bahawa kerajaan negeri telah pun membayar kerja-kerja dilakukan oleh CZBUCG yang mana bayaran dibuat melalui ‘land swap’ berjumlah RM135 juta.

Peguam: Jumlah tuntutan oleh CZBUCG melebihi nilai tanah tersebut, jadi setuju dengan saya bahawa tiada kerugian dialami kerajaan negeri berhubung kerja-kerja yang dilakukan CZBUCG dan berpandukan kepada perjanjian awal, maka mereka perlu dibayar dengan Lot 702, betul?

Saksi: Saya tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 Ogos ini.

Guan Eng, 65, didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dilakukan dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast