SEREMBAN – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak langsung mendapat input daripada Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto yang dilancarkan malam tadi adalah merupakan kesinambungan rancangan pembangunan BN yang dirangka sebelum gabungan itu ditubuhkan.
“Saya kata tadi, ini kita punya kesinambungan kerja kita. Masa itu PN tak ada,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran manifesto BN bagi PRN Negeri Sembilan malam tadi.
Turut hadir adalah Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon
Mohamad berkata demikian ketika ditanya mengenai media mengenai kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa bahawa BN dan PN akan menggabungkan manifesto pada PRN Negeri Sembilan.
Semalam, Annuar berkata, BN dan PN akan berkempen menggunakan satu manifesto pada PRN Negeri Sembilan selepas bersetuju menggabungkan dokumen dasar masing-masing.
Beliau berkata, wakil daripada kedua-dua gabungan itu telah dilantik untuk menyelaraskan manifesto tersebut susulan mesyuarat, malam kelmarin.
“Persetujuan telah dicapai untuk gabungkan manifesto BN dan PN, dan kami akan menyokong manifesto satu sama lain. Kami hanya akan ada satu manifesto,” kata Annuar. – MalaysiaGazette
















