Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta Kementerian Kesihatan Malaysia dapat memberikan perhatian terhadap keperluan penjawatan petugas kesihatan di negeri itu.

Menurut beliau, penyediaan fasiliti baharu sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disokong dengan tenaga kerja yang mencukupi bagi menjamin kelancaran perkhidmatan kesihatan.

“Tanpa tenaga kerja yang mencukupi, sebaik mana sekalipun fasiliti yang disediakan, rakyat tetap akan berdepan cabaran untuk mendapatkan perkhidmatan yang baik dan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan itu, beliau turut memaklumkan projek peluasan konsep Klinik Decanting menerusi pemindahan operasi Unit Ibu dan Anak (KKIA) Klinik Kesihatan Kulai ke Lotus Kulai  dijangka mula beroperasi pada 3 Ogos ini.

Menurut beliau, projek bernilai RM1.19 juta itu kini mencapai kemajuan 78 peratus dan dijangka siap mengikut jadual bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan.

“Pemindahan operasi ini bukan sekadar melibatkan pertukaran lokasi, tetapi merupakan langkah penting untuk mengurangkan kesesakan serta meningkatkan kapasiti perkhidmatan Klinik Kesihatan Kulai.

Onn Hafiz berkata, Klinik Kesihatan Kulai ketika ini memberi perkhidmatan kepada lebih 92,000 penduduk dengan purata 852 pesakit sehari, termasuk kira-kira 281 pesakit bagi perkhidmatan Unit Ibu dan Anak.

Katanya, jumlah pesakit yang tinggi itu memberi tekanan kepada kapasiti sedia ada selain menjejaskan keselesaan pesakit dan petugas kesihatan.

Beliau berkata, kemudahan baharu di Lotus Kulai itu dijangka menyediakan persekitaran rawatan lebih selesa, selamat dan kondusif khususnya kepada golongan ibu, bayi serta kanak-kanak.

“Pada masa sama, saya yakin kemudahan ini turut membantu petugas kesihatan memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, teratur dan berkualiti kepada Bangsa Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast