GEORGE TOWN – Sepasang kekasih masing-masing berusia 18 tahun dibenarkan diikat jamin selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan berasingan membabitkan memiliki pistol besi tiruan dan menyimpan kad pengenalan milik individu lain.
Majistret S. Selvaranjini membenarkan Tharmindraa dan teman wanitanya, S Jivitha Sri, masing-masing diikat jamin RM3,000 dan RM1,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Ogos depan.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, Tharmindraa didakwa memiliki sepucuk pistol besi tiruan di sebuah rumah beralamat 942-H, Halaman Paya Terubong, Mukim 13, Relau kira-kira jam 12.35 tengah malam pada 21 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Jivitha Sri didakwa memiliki kad pengenalan milik seorang wanita berusia 25 tahun tanpa alasan munasabah di sebuah hotel di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas kira-kira jam 8 malam pada tarikh sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Ketika prosiding kedua-dua kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin memohon laporan akhlak kedua-dua tertuduh disediakan memandangkan mereka baru mencapai usia 18 tahun serta mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap seorang.
Bagaimanapun, peguam peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Jeffrey Beh memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan Tharmindraa tidak bekerja manakala Jivitha Sri sebelum ini bekerja di sebuah kedai serbaneka.
Beliau turut memaklumkan ibu Tharmindraa yang bekerja di sebuah stesen minyak dengan pendapatan RM1,700 sebulan bersedia menjadi penjamin kepada kedua-dua tertuduh berikutan ibu bapa kandung Jivitha Sri tidak hadir ke mahkamah.
Pada akhir prosiding, Selvaranjini turut meminta peguam berkenaan memaklumkan kepada Jivitha Sri supaya ibu bapanya hadir pada prosiding akan datang bagi tujuan penyediaan laporan akhlak.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada Rabu lalu melaporkan pasangan itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah melibatkan objek menyerupai pistol selepas polis menerima laporan dua lelaki mendakwa diugut suspek lelaki yang menyewa sebuah bilik di rumah mereka di Halaman Paya Terubong.
Kedua-dua lelaki itu dilaporkan telah menegur pasangan berkenaan kerana bertengkar, sebelum suspek lelaki bertindak mengacukan objek menyerupai pistol ke arah mereka lalu beredar dari bilik sewa tersebut bersama teman wanitanya. – MalaysiaGazette
















