Ahmad Shabery Chik

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) optimis gelombang sokongan pengundi Felda yang didakwa pernah menjauhkan diri daripada UMNO kini kembali memihak kepada parti itu dan berpotensi menjadi faktor penentu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bekas Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perubahan corak sokongan itu mula dapat dilihat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila pengundi Felda daripada pelbagai generasi kembali memberikan kepercayaan kepada BN.

Menurutnya, trend sama diyakini akan berulang di Negeri Sembilan yang mempunyai kira-kira 16,000 keluarga peneroka di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan pengundi Felda dianggarkan mencecah 112,000 orang.

“Undi Felda sekali lagi berpotensi menjadi faktor penentu kepada BN dalam PRN Negeri Sembilan. Pada masa lalu, generasi pertama peneroka sebahagian besarnya kekal setia namun kita melihat cabaran dalam kalangan pengundi generasi kedua, ketiga dan keempat.

“Bagaimanapun, ketika PRN Johor, sokongan kembali merentasi semua generasi. Saya yakin trend sama akan berlaku di Negeri Sembilan,” katanya.

Shabery berkata, walaupun ramai generasi kedua dan ketiga tidak lagi menetap di tanah rancangan, mereka masih mengekalkan pendaftaran sebagai pengundi dan akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.

Katanya, kelompok pengundi muda Felda yang sebelum ini dilihat menjauhkan diri daripada UMNO kini mempunyai kecenderungan untuk kembali menyokong BN susulan perubahan landskap politik semasa.

Beliau berkata, fokus generasi baharu Felda kini bukan lagi kepada isu hutang peneroka sebaliknya lebih tertumpu kepada pemilikan rumah, pendidikan serta peluang pekerjaan.

Menurutnya, isu penyediaan lot perumahan untuk generasi baharu bakal menjadi antara penentu utama sokongan pengundi Felda.

“Dalam konteks isu perumahan generasi, warga Negeri Sembilan diberi peluang untuk mencontohi negeri Pahang dan Johor. Kedua-duanya telah menyediakan lebih 31,000 lot perumahan untuk generasi, dan kedua-duanya merupakan negeri yang dipimpin kerajaan BN,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Warga Felda ingat asal usul pilih ‘Biru’, beri mandat BN bela nasib peneroka

Generasi Felda anak emas Johor, tidak akan mengkhianati BN esok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast