ACP Muhamad Farid Ahmad.

KUALA LUMPUR – Beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang mengakibatkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan bapanya cedera dipukul di hadapan sebuah sekolah menengah di Serdang pada 3 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, mangsa dipanggil oleh beberapa pelajar lelaki dari sekolah yang sama ketika sedang menuju ke motosikalnya di luar kawasan sekolah.

“Mangsa telah dikepung dan dipukul oleh kesemua suspek menyebabkan mangsa luka pada bahagian bibir dan lutut serta lebam di seluruh badan.

“Bapa mangsa yang cuba untuk meleraikan pergaduhan itu turut dipukul sehingga terjatuh di jalan raya, dan menyebabkan kecederaan pada tangan dan kaki … ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Muhamad Farid berkata, polis turut bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kejadian itu ditangani secara profesional serta mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, dan meminta mereka yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang menerusi talian 03-8074 2222 atau balai polis berhampiran.

Sebelum ini, tular dalam media sosial video memaparkan beberapa pelajar sekolah menengah menyerang seorang lelaki di sebuah kawasan parkir motosikal. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast